Setelah hampir lima tahun menyepikan diri, pelakon Amanda Misbun kini kembali mengorak langkah untuk menyambung kerja-kerja seni yang telah ditinggalkan sebelum ini.

Menurut pelakon yang sebelum ini dikenali menerusi drama Apa Celop, Angin Rindu Sarajevo, Surat Terakhir dan lain-lain ini, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika dunia lakonan selepas bergelar ibu kepada dua cahaya mata comel, Qisya, 5, dan Abdul Khaliq, 3.

“Keputusan itu saya lakukan ketika itu kerana mahu memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada anak-anak, malah saya tidak mahu terlepas untuk melihat mereka membesar di depan mata saya.

 

“Saya tidak pernah berhasrat untuk berhenti terus dalam kerjaya seni kerana lakonan sememangnya menjasi minat saya semenjak dulu lagi, cuma ada ketika kita perlu mendahulukan perkara lain untuk sementara waktu.

 

“Setelah lama berehat dan anak-anak pun sudah boleh berdikari serta dijaga oleh orang lain tanpa kehadiran saya, barulah saya kembali aktif semula dalam bidang lakonan sebagaimana yang saya lakukan sekarang ini,” jelasnya.

Begitupun, menurut Amanda lagi, tidak mudah untuknya kembali menempatkan diri memandangkan ramai pelakon baru yang muncul selain pihak produksi yang masih tidak menyedari dia kini aktif semula.

Bagaimanapun, pelakon yang cukup dikenali dengan sikap rendah dirinya ini percaya, peluang dan rezeki itu tetap akan datang bila tiba masanya.

“Pada mulanya sukar juga nak kembali tempatkan diri kerana ramai yang ingat saya sudah tidak mahu berlakon lagi kerana lama berehat, namun selepas satu tawaran datang, satu persatu tawaran lain mula masuk.

 

“Saya tidak kisah tentang pelakon baru kerana bagi saya, kalau kita bagus orang akan terima dan begitulah sebaliknya. Ia juga terletak pada rezeki, jika bukan rezeki kita, buat macam mana pun ia tetap tidak akan berpihak kepada kita,” tegas Amanda lagi.

Membenarkan kata-katanya, pelakon ini juga bepeluang untuk muncul buat pertama kalinya di pentas teater apabila mendapat tawaran daripada pelakon dan juga pengarah, Amar Asyraf yang untuk tampil dalam pementasan siri Monolog Perempuan Satu Malam yang baru sahaja berlangsung hujung minggu lalu.

Menyifatkan peluang itu sebagai bulan jatuh ke riba, Amanda mengambil peluang tersebut untuk mengembangkan lakonannya ke pentas teater.

“Sebenarnya memang dari dulu lagi saya memang ingin sangat berlakon teater untuk mencuba pengalaman baru di pentas selain mencabar kemampuan lakonan saya untuk sebuah persembahan lakonan yang berlangsung secara live begitu.

 

“Alhamdulillah, peluang itu diberikan Amar Asyraf yang percaya kepada bakat dan lebih menarik ia datang pada waktu yang tepat selepas saya membuat kemunculan semula selepas lama berehat dari dunia lakonan.

 

“Sebenarnya sebelum ini pun saya pernah mendapat tawaran berlakon teater, tetapi ketika itu terpaksa menolak kerana terikat dengan jadual penggambaran, dan mungkin juga belum rezeki saya untuk ke pentas teater ketika itu,” ujarnya.

Bakal terlibat dengan penggambaran drama 70 episod yang akan memulakan penggambaran dalam masa yang terdekat, Amanda juga sebenarnya sibuk menguruskan perniagaan pakaian yang diusahakannya di bawah label The Petunia.

“Selain berlakon, saya juga terlibat dalam bidang perniagaan di mana saya bersama seorang rakan menjalankan bisnes baju yang menggunakan nama The Petunia.

 

“Sambutannya agak memberangsangkan apabila keluaran pertama di bawah label ini mendapat sambutan yang begitu baik, malah laris terjual.

 

“Insya-ALLAH dalam masa yang terdekat ini kami akan tampil dengan design terbaru dan kini sedang menunggu waktu yang sesuai untuk melancarkannya,” katanya yang menjalankan perniagaan secara atas talian.

Berkongsi tentang kehidupannya sebagai seorang ibu, kata Amanda, tiada apa yang lebih manis daripada apa yang dilaluinya hari ini sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata yang menyerikan kehidupannya dan suami.

“Semenjak bergelar ibu, memang saya memilih untuk menjaga dan menguruskan sendiri keperluan anak-anak termasuk menghantar dan menjemputnya dari sekolah.

 

“Semuanya saya lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah kerana saya dan suami lebih selesa menguruskan anak-anak tanpa mengharapkan orang lain kerana mahu melihat mereka membesar dengan mata kami sendiri.

 

“Suami juga seorang ahli perniagaan dan banyak bekerja dari rumah, jadi apabila saya terlibat dengan urusan di luar saya tidak ada masalah untuk tinggalkan anak-anak bersama dengannya,” kata Amanda yang bersyukur dikurniakan suami yang cukup memahami.

Apa Kata Anda