
Penyanyi dan pelakon, Alyssa Dezek berkongsi hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang perniagaan selepas meraih keputusan cemerlang dalam SPM, baru-baru ini.
Menurut Alyssa, minat mendalam terhadap dunia bisnes menjadi faktor utama dalam menentukan hala tuju pendidikannya, selain dorongan yang diterima daripada kedua ibu bapa.
“Saya cadang melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan. Jika tiada halangan, insya-Allah saya akan sambung hingga ke peringkat ijazah dalam bidang yang sama.
“Saya memang minat bisnes dan pada masa sama mendapat nasihat daripada ibu bapa untuk mendalami bidang ini,” kata remaja berusia 18 tahun ini.
Penyanyi lagu Lebih Dari Rindu ini berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Aspirasi PTTI 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad lalu.
Berkongsi mengenai rahsia kejayaannya pula, Alyssa tidak menolak motivasi diri serta persekitaran yang positif turut memainkan peranan penting dalam memastikan kecemerlangan akademik.
“Tips saya mudah, cari sesuatu yang boleh beri motivasi kepada diri. Kalau tiada motivasi, memang susah nak kekalkan semangat belajar.
Selain itu, penting juga untuk berkawan dengan mereka yang ada matlamat sama. Kalau dikelilingi kawan yang tidak serius, ia akan menjejaskan fokus kita,” katanya lagi.
Malah, dia turut menzahirkan penghargaan kepada platform tuisyen dalam talian PTTI Group yang banyak membantunya mengejar semula pelajaran yang tertinggal.
“Alhamdulillah, saya dapat buktikan bahawa PTTI memang banyak membantu. Beberapa bulan sebelum SPM, saya kurangkan aktiviti seni untuk fokus sepenuhnya pada pelajaran.
Sebelum ini jadual seni agak padat dan ada topik yang saya tertinggal. Dengan bantuan PTTI, saya dapat kejar semula semua itu.
“Saya mula menyertai PTTI sejak tingkatan tiga. Teknik pengajaran yang digunakan sangat jelas dan mudah difahami, membolehkan saya menguasai pelajaran dalam masa singkat. Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh 9A dalam SPM,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, PTTI sekali lagi mencipta kejayaan apabila melahirkan seramai 534 pelajar yang memperoleh keputusan ‘straight A’ dalam peperiksaan SPM 2025.
Pencapaian tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara peneraju pendidikan digital di Malaysia, selain berjaya mencatat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records buat kali ketiga selepas kejayaan pada tahun 2022 dan 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman memaklumkan sebanyak 31,987 gred A berjaya direkodkan oleh pelajar di bawah bimbingan mereka bagi SPM 2025, manakala lebih 158,000 pelajar mendapat manfaat menerusi seminar yang dianjurkan sepanjang tahun.
Sementara itu, Chief Growth Officer PTTI, Race Monsopiad atau lebih dikenali sebagai Sir Race pula menjelasian, lebih 150,000 pelajar telah menyertai pelbagai program pendidikan yang dianjurkan.
Selain Alyssa, keberadaan anak kepada pelakon Norman Hakim, Maria Danisha pada majlis sama turut jadi sorotan selepas turut meraih keputusan memberangsangkan dalam SPM.
Lebih menarik, Maria Danisha berjaya memperoleh gred A bagi tiga subjek utama iaitu Matematik, Sains dan Sejarah selepas mengikuti bimbingan daripada PTTI.
Danisha bersama lebih 4,000 pelajar bersama ibu bapa lain turut membanjiri PICC sempena Majlis Anugerah Inspirasi 2026 anjuran PTTI Group.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi sesi pagi, sementara sesi petang pula telah disempurnakan oleh Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Acara tersebut juga diserikan dengan kehadiran tokoh dan selebriti terkenal seperti Datuk Azizan Osman, Datuk Awie, Datuk M. Nasir, Datuk AC Mizal, MK K-Clique, Iman Troye, Hael Husaini, Bella Astillah serta Zaki Yamani.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini