Berita

“Allahuakbar, 5.20 Pagi Kilau Balik…,” – Berkat Doa Depan Kaabah, Azhan Rani Syukur ‘Kilau’ Pulang Sendiri Selepas Seharian Hilang

Share

Pelakon Azhan Rani meluahkan rasa syukur apabila kucing kesayangannya, Kilau, yang dilaporkan hilang sejak malam Selasa, akhirnya pulang sendiri ke rumah pada awal pagi tadi.

Menurut Azhan, selepas puas mencari di pelbagai lokasi, dia sama sekali tidak menyangka Kilau akan kembali dalam keadaan selamat.

“Alhamdulillah, syukur. Allahuakbar. 5.20 pagi Kilau balik sendiri. Tiba-tiba dengar suara dia. Semalaman biarkan pintu dapur terbuka.

“2.30 pagi semalam, balik dari penggambaran, macam orang gila berpusing-pusing belakang rumah mencari lagi.

“Terima kasih atas doa dan perhatian ramai yang mendoakan Kilau pulang,” tulisnya.

Perkongsian itu dimuat naik oleh pelakon drama Jutawan Ekspres 2 menerusi satu hantaran di Instagram.

Syukur Doa Di Hadapan Kaabah Dimakbulkan

Dalam hantaran sama, Azhan turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak putus-putus membantu mencari Kilau sejak ia dilaporkan hilang.

“Terima kasih adikku yang hampir tiap jam meronda mencari Kilau dari semalam.

“Sahabat yang sanggup datang dari jauh petang semalam semata-mata nak mencari,” kongsinya lagi.

Pada masa sama, Azhan turut bersyukur apabila doa yang dipanjatkan oleh dua sahabatnya di hadapan Kaabah dimakbulkan Allah SWT.

“Tak lupa juga buat sahabat mutawwif dan Ustaz Aisar Nazli yang mendoakan Kilau dari hadapan Kaabah Mekah.

“Allah angkat doa kalian. Syukur Kilau pulang sendiri dengan selamat. Alhamdulillah,” kongsinya lagi.

Sebelum ini, Azhan meluahkan rasa sedih apabila Kilau didakwa hilang dari rumah.

Malah, dia turut mengiklankan kehilangan kucing kesayangannya itu serta memohon bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menjumpai Kilau.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Azhan Rani

Published by
Aizam Manaf