“Aliff Layak Menang…Jangan Bazirkan Masa Bergaduh-Gaduh,” – Nikki Palikat Suarakan Reaksi, Jika Ada Kritik Siapa Sepatutnya Jadi Juara GV8

Share

Penyanyi Nikki Palikat berpuas hati dan menerima keputusan juri profesional dengan hati terbuka selepas diumumkan sebagai pemenang tempat kedua Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), malam tadi.

Menurut Nikki, dia gembira dan pada masa sama bersyukur kerana dapat merealisasikan impian buat kedua orang tuanya selepas ini.

“Saya percaya dengan keputusan yang dinilaikan para juri mengenai keputusan malam ini (konsert akhir). Apa pun saya bersyukur.

“Sekurang-kurangnya wang kemenangan dapat juga saya penuhi impian untuk lakukan renovasi rumah. Itu azam saya dan akhirnya ia tercapai. Saya gembira,” katanya.

Ditanya mengenai komen-komen di media sosial yang ada bercanggahan pendapat mengenai kemenangan Aliff Aziz, Nikki merasakan penyanyi lagu Sayang Sayang itu layak bergelar juara.

“Aliff layak menang sebab bagi saya dia peserta yang rajin. Malah Datuk Syafinaz ada memberitahu dia seorang yang mempunyai tahap ‘musicality’ yang kuat.

“Saya nampak dia punya kesungguhan setiap minggu. Tumpang gembira dengan kejayaannya.

“Jangan bazirkan tenaga untuk bergaduh-gaduh sebab kalian boleh nantikan single terbaru saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, Aliff memperolehi markah tertinggi sebanyak 83.06 peratus, sementara Nikki dan Suki masing-masing meraih 81.26 dan 77.91 peratus.

Tempat keempat disandang Adibah Noor menerusi 67.25 peratus manakala Azan Scan menduduki tangga kelima iaitu dengan 64.04 peratus, diikuti Aweera sebanyak 63.90 peratus.

Malam kemuncak GV8 telah disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Persembahan peserta pada peringkat akhir diadili oleh juri terdiri Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan juri jemputan, Joe Flizzow.

Untuk rekod, musim pertama Gegar Vaganza dimenangi oleh Ayai (Ilusi), Siti Nordiana pada musim kedua, Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) dan Cliff Umar (GV7).

Program akhir GV8 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse dan konsert akhir turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada alumni GV8.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

IKLAN