“Alhamdulillah Dan Terima Kasih,” – Ras Adiba Radzi Dilantik Profesor Adjung Universiti Kebangsaan Malaysia

Share

Senator Datuk Ras Adiba Radzi merupakan seorang figura yang memberi inspirasi kepada kita semua. Dari seorang yang berpengaruh di dalam bidang penyiaran sebagai seorang pembaca berita, wartawan penyiaran dan pengacara beliau kini merupakan seorang senator di dalam Dewan Negara yang memperjuangkan suara dan hak orang kurang upaya (OKU).

Terbaharu beliau telah dilantik sebagai Profesor Adjung Pusat Kajian Psikologi Dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam perkongsiannya di laman Instagram. “Alhamdulillah dan terima kasih kepada Universiti Kebangsaan Malaysia kerana melantik saya sebagai Profesor Adjung PSITRA.

Pelantikan ini adalah tanggungjawab serta amanah yang besar untuk saya laksanakan. Akan saya berkongsi ilmu dan pengetahuan berlandaskan pengalaman diri, dalam melahirkan modal insan yang berkualiti, dengan izinNya,” ujarnya.

Untuk pengetahuan para pembaca, gelaran profesor adjung diberikan sesebuah universiti  kepada individu bukan akademik yang dijemput untuk berkongsi kemahiran, ilmu dan pengetahuan kepada institusi pendidikan yang melantik mereka.

Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (PsiTra) merupakan salah satu daripada enam pusat di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malayisa.

Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk menjadi pelopor dalam penyelidikan yang memfokus kepada tiga aspek penyelidikan mengikut tiga  kluster iaitu Kluster Kaunseling, Pengurusan Krisis dan Kebajikan Sosial, Kluster Kesihatan Mental dan Kualiti Hidup dan Kluster Pembangunan Manusia dan Tenaga Kerja.

Kepakaran dan hasil penyelidikan PsiTra menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Tahniah Media Hiburan ucapkan kepada Datuk Ras Adiba Radzi di atas pelantikan ini.

Sumber gambar: Instagram Ras Adiba Radzi

IKLAN