Berita

“Alhamdulillah…,” – Ayda Jebat Terima Pingat Bintang Cemerlang Melaka, Anggap Antara Kenangan Terindah Dalam Hidup

Share

Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat meluahkan rasa syukur selepas dianugerahkan Pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan serta jasanya sebagai anak seni yang telah mengharumkan nama negeri Melaka.

Anugerah tersebut disampaikan pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd. Ali Mohd. Rustam, yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri.

Anggap Antara Kenangan Terindah

Menurut Ayda, penganugerahan itu disifatkan sebagai antara kenangan paling manis dalam hidupnya sebagai anak jati Ayer Keroh, Melaka.

“Alhamdulillah syukur. Terima kasih Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Rustam, atas penganugerahan Pingat Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) yang diberi istimewa sempena ulang tahun yang ke-77.

“Terima kasih juga kepada CM Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, dan tahniah kepada semua penerima anugerah.

“Kenangan manis buat saya dapat terima anugerah ini,” tulisnya.

Perkongsian tersebut dimuat naik menerusi satu hantaran di Instagram pada Rabu.

Ayda tersenarai sebagai antara 431 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka bagi sesi kedua.

Penampilan Anggun Curi Perhatian

Pada istiadat berkenaan, ibu kepada tiga cahaya mata itu tampil anggun mengenakan kebaya moden lengkap dengan perincian selendang berwarna keemasan.

Menerusi hantaran sama, penyanyi lagu Pencuri Hati itu turut berkongsi beberapa momen sepanjang istiadat berlangsung.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen serta rakan selebriti turut menzahirkan ucapan tahniah dan berkongsi rasa gembira atas pengiktirafan yang diterimanya.

Sebagai rekod, Ayda mula mencipta nama selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan pada 2011.

Popularitinya kemudian terus melonjak menerusi beberapa lagu hit seperti Siapa Diriku, Pencuri Hati, Nakal Nakal Nakal dan Temberang.

Bukan sahaja cemerlang dalam bidang nyanyian, Ayda juga membuktikan bakat lakonannya menerusi pelbagai drama popular seperti Mandul Bukan Pilihan, Bukan Gadis Biasa, Bukan Cinta Sempurna dan banyak lagi.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Ayda Jebat

Published by
Aizam Manaf