Alec Baldwin Tertembak Pengarah Fotografi Sehingga Mati Di Set Penggambaran Filem

Share

Malang tidak berbau apabila melakukan filem aksi, lebih-lebih lagi melibatkan penggambaran yang memerlukan efek senjata api. Inilah insiden yang menggemparkan industri perfileman Hollywood ketika ini.

Seorang anggota kru filem telah meninggal dunia dan seorang lagi cedera setelah pelakon terkenal, Alec Baldwin melepaskan tembakan menggunakan senjata api yang digunakan sebagai prop dan terkena dua mangsa tersebut di set filem terbarunya bertajuk ‘Rust’ yang sedang menjalani penggambaran di New Mexico pada Khamis.

Keadaan Alec Baldwin yang gusar selepas memberi keterangan kepada pihak polis. Sumber Gambar: CNN/Jim Weber/The New Mexican

Menurut laporan CNN, kru filem yang maut merupakan seorang Pengarah Fotografi dikenali dengan nama Halyna Hutchins, 42, telah dibawa ke hospital menggunakan helikopter sebelum disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan di Hospital Universiti New Mexico.

Halyna merupakan pengarah fotografi prolifik. Sumber gambar: Instagram Halyna Hutchins

Seorang lagi kru yang terlibat dalam insiden malang tersebut, Joel Souza, 48, dibawa ke Pusat Perubatan Wilayah Christus St. Vincent dengan ambulans untuk rawatan. Perincian mengenai keadaannya tidak dikeluarkan. Joel dikenal pasti sebagai pengarah di set penggambaran itu.

Halyna sempat memuat naik gambar di set penggambaran di Instagramnya. Sumber gambar: Instagram Halyna Hutchins
Pihak pengurusan Alec masih belum memberi apa-apa kenyataan kepada media setakat berita ini ditulis. Sumber gambar: Instagram The Alec Baldwin Show

Rust merupakan sebuah naskhah bergenre Western yang berlatarbelakangkan tahun 1880-an. Turut membintangi filem tersebut selain Alec ialah Travis Fimmel dan Jensen Ackles.

Polis masih lagi menyiasat kejadian yang berlaku di Bonanza Creek Ranch yang merupakan sebuah lokasi penggambaran popular di New Mexico. Setakat berita ini ditulis tidak ada pertuduhan direkodkan dan penyiasatan kes itu masih lagi terbuka dan diklasifikasikan sebagai aktif.

Untuk informasi pembaca, Alec Baldwin, 63, merupakan pelakon, pengacara dan penerbit prolifik di Hollywood. Dia pernah membintangi filem seperti Pearl Harbor, Mission Impossible – Rogue Nation, The Aviator dan Blue Jasmine.

Sumber: CNN

 

 

IKLAN