“Aku Doakan Moga Kau Berbahagia, Dipertemukan Insan Lebih Baik,” – Ahli Caliph Buskers Cerai Dua Tahun Lalu, Ini Harapan Nadira Buat Bekas Suami

Share

Selain pemuzik, Fendy Adlun membuat pendedahan mengenai kisah perpisahan bersama bekas isteri yang juga vokalis wanita untuk kumpulan Caliph Buskers, Nurnadira Rubina, wanita ini turut memberikan pencerahan mengenai kisah perceraian mereka lebih dua tahun lalu.

Menerusi Instagram, pemuzik dan penyanyi ini memberikan penjelasan panjang.

Jelasnya, apa yang dikongsikan adalah bagi menjelaskan kekeliruan.

“Kisah semalam hanya sejarah yang mengajar diri untuk menjadi lebih kuat. Dua tahun merahsiakan, jalan yang terbaik adalah berterus-terang agar tiada lagi kekeliruan dan tanda tanya dari mana-mana pihak.

”Tiada siapa yang inginkan perpisahan. Namun sebagai manusia, siapa kita untuk menidakkan apa yang sudah tertulis. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ya, aku redha dengan ketentuan ini.

”Allah takkan turunkan sesebuah ujian jika kita tidak mampu untuk menghadapinya.
Tiada lain yang diharapkan, walau pun hubungan kita sebagai suami isteri telah pun berakhir, aku harap kita dapat berbaik jadi kawan sampai bila-bila.

”Moga kita dapat menjalankan amanah dan memikul tanggungjawab untuk bersama-sama menjaga dan membesarkan puteri kesayangan kita, Nurazalea Zafirah dengan baik, dengan penuh kasih sayang,” maklumnya.

Dia pada masa sama turut merakamkan ucapan terima kasih buat bekas suami atas tanjunggawabnya selama ini.

“Buat Fendy yang pernah menjadi suamiku suatu masa dulu, terima kasih kerana telah hadir dalam hidup ini.

”Terima kasih kerana telah menjagaku walau dalam waktu yang singkat. Berjuta kemaafan ku pohon dari hati yang terdalam.

”Aku mohon ampunkan segala salah silap sepanjang beberapa tahun aku menjadi isteri, halalkan segala makan minumku selama ini. Meski pun jodoh kita tak panjang, jangan anggap ini sebagai yang terakkhir untuk kita.

”Tapi anggaplah ini sebagai satu titik permulaan untuk kita memulakan cerita baru, juga langkah baru dalam fasa kehidupan yang baru.

”Aku doakan semoga kau berbahagia, moga dipertemukan dengan insan yang lebih baik. Satu je aku nak pesan, cari pasangan yang bukan hanya sekadar sayang diri kita, tapi carilah seseorang yang boleh terima kita seadanya, boleh terima dan sayang anak kita seperti anak-nya sendiri walau dalam apa jua sekali pun keadaan atau kondisi anak kita.

”Dengan penjelasan ini, diharapkan selepas ini kita dapat menjalani kehidupan masing-masing dengan lebih tenang.

”Moga ada sinar kebahagiaan dan kebaikan untuk kita berdua. Sekali lagi, maafkan aku.
Ikhlas dari: Nurnadira rubiana,” jelas Nadira panjang lebar.

Fendy turut berkongsi luahan hatinya di laman Instagram mengenai hal terkait.

Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 Mei 2014 sebelum mengambil keputusan untuk berpisah.

Hasil perkahwinan itu, keduanya mempunyai seorang cahaya mata, Nurazalea Zafirah yang kini mencecah usia lima tahun.

Foto: Instagram Nurnadira, Fendy

IKLAN