
Bintang baharu, Sufie Rose akui sedih apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Big Stage Rocketfuel seawal minggu kedua, sekali gus muncul sebagai peserta pertama yang tersingkir.
Walaupun tidak menjangkakan penyingkiran tersebut, Sufie tetap menerima keputusan yang dibuat oleh barisan juri dengan hati terbuka.
“Sejujurnya perasaan saya memang agak sedih lebih-lebih lagi apabila terpaksa meninggalkan rakan-rakan lain. Saya juga perlu akur yang perjalanan saya terhenti sampai di sini sahaja.
“Bercakap tentang jangkaan penyingkiran, saya pun tak tahu nak cakap macam mana. Seperti semua tahu, program Astro memang banyak hal mengejutkan. Bila-bila sahaja boleh ada penyingkiran,” katanya kepada MH.
Sufie berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai konsert minggu kedua Big Stage Rocketfuel yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Sufie berpendapat dia sepatutnya diberikan lebih banyak peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar sebagai seorang penyanyi.
Menurutnya, perkembangan positif yang ditunjukkan pada minggu kedua membuktikan dia mampu memberikan persembahan yang lebih baik sekiranya terus kekal dalam pertandingan.
“Sejujurnya saya merasakan diri saya perlu diberikan lebih peluang. Seperti yang anda boleh lihat malam tadi, Akim kata persembahan saya ada peningkatan berbanding minggu lalu kerana pemilihan lagu yang tepat.
“Kalau diberikan lebih peluang, saya yakin boleh tunjukkan persembahan yang lebih baik,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia merasakan dirinya lebih layak kekal berbanding peserta lain, Sufie menyerahkan sepenuhnya kepada penilaian profesional barisan juri.
“Saya tak tahu nak ulas soal itu. Pemarkahan itu adalah berdasarkan penjurian profesional. Jadi, saya tak boleh nak ulas apa-apa,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Sufie menyifatkan setiap teguran dan kritikan yang diterima daripada juri sebagai ilmu yang sangat berharga untuk membentuk dirinya menjadi anak seni yang lebih matang.
“Saya menerima komen para juri dengan hati yang terbuka. Kerana itulah program ini membawakan mereka sebagai juri tetap untuk menghakimi persembahan kami.
“Kami memang memerlukan maklum balas daripada mereka untuk menjadi lebih baik. Penjurian mereka memang agak tegas kerana mereka fokus kepada vokal dan aspek menjadi bintang,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai perancangan selepas tersingkir, Sufie memaklumkan dia akan kembali menjalankan tugas di sektor perhotelan sementara menantikan perancangan lanjut daripada syarikat rakamannya, Rocketfuel.
“Dari segi perancangan, saya ketika ini sudah berada di bawah syarikat rakaman Rocketfuel. Jadi, segala perancangan masih belum dipastikan lagi.
“Dari segi peribadi pula, saya belum menetapkan apa-apa yang khusus. Saya akan kembali dahulu kepada pekerjaan lama saya di sektor perhotelan.
“Jika ada sebarang tawaran selepas ini, saya akan lihat dahulu kepada kesesuaian. Jika tawaran itu baik, kita akan terima,” katanya lagi.
Walaupun perjalanan dalam pertandingan berakhir lebih awal, Sufie menegaskan penyingkiran itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus mengejar impian dalam bidang nyanyian.
“Penyingkiran ini tidak mematahkan semangat saya. Saya memang menjadikan program ini sebagai platform yang bagus untuk mencipta nama dan menimba ilmu dan pengalaman berguna.
“Tak semua orang dapat peluang seperti ini. Bila kita diterima, tak kisahlah berapa lama sekali pun, momen ini amat penting dalam hidup saya.
“Saya tidak akan berhenti dalam bidang nyanyian kerana ini minat dan hobi saya. Saya juga tidak akan berputus asa untuk menimba ilmu lagi,” akhirinya.
Terdahulu, persembahan Sufie menerusi lagu Panas nyanyian asal kumpulan De Fam gagal memikat hati barisan juri, sekali gus menyaksikan dia memperoleh markah paling rendah iaitu 57.33% pada saingan minggu kedua program.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini