Biarpun sudah enam tahun berada dalam industri seni, nama Aisya Hasnaa Umaruddin belum cukup kukuh.
Artis berusia 27 tahun ini bermula sebagai penyanyi sebelum beralih ke bidang lakonan beberapa tahun selepas itu.
Adik kepada chef selebriti, Anis Nabilah itu bagaimanapun tidak pernah ambil pusing dikatakan ‘menumpang nama’ kakak asalkan dia boleh kekal lama sebagai anak seni.
“Saya tak kisah orang kenal saya sebagai adik Anis Nabilah kerana saya memang adiknya. Tapi saya rasa tidak ada istilah menumpang populariti kerana kami dalam dua bidang berbeza.
“Lucunya kadang kala ada yang keliru dengan kami, tapi saya tak rasa ia sebagai satu masalah,” katanya kepada Media Hiburan.
Aisya berkata, dia sebenarnya lebih selesa mengatur karier nyanyian dan lakonannya seiring serta bertuah kerana mempunyai pengurus yang bijak melakukan tugas itu.
“Saya bertuah kerana insan di sekeliling menyokong apa yang saya lakukan. Lagipun menyanyi tak ambil masa lama berbanding berada di set untuk berlakon,” katanya yang kini giat mempromosikan single keduanya, Kan Bersamamu duet bersama Waris.
Selain itu ujar Aisya, dia juga kini sibuk menyiapkan album kedua, di samping sibuk dengan penggambaran drama terbaru untuk Hypp TV.
Aisya yang kini tampil dengan imej bertudung tidak menafikan ada ketikanya dia kurang mendapat tawaran tetapi sudah pasti tidak ada pihak yang harus dipersalahkan kerana faham dengan perkembangan industri masa kini.
“Ini semua rezeki, kalau sudah tertulis ia rezeki, pasti akan jadi milik saya. Saya pun tak rasa bertudung jadi penghalang atau mengekang saya untuk terus aktif di dalam bidang ini,” jelasnya.
Teruja menanti filem pertama
Dalam pada itu, Aisya teruja menantikan tayangan filem pertama lakonannya, Kau Takdirku yang menjalani penggambaran sekitar empat tahun lepas.
Jelas Aisya, penantian semua pelakon untuk menyaksikan filem tersebut ditayangkan berakhir dan dalam masa yang sama dia berdebar menantikan reaksi penonton terhadap filem berkenaan.
“Ketika penggambaran filem ini, saya masih lagi baru dalam dunia lakonan. Memang agak gementar, lebih-lebih lagi kami perlu menjalani penggambaran di dalam laut.
“Malah sebelum memulakan penggambaran di Pulau Langkawi dan Pulau Tioman, kami turut menjalani latihan dan belajar berenang selama beberapa minggu,” katanya.
Ujar Aisya, walaupun ketika penggambaran filem ini dia belum bertudung, tetapi dia percaya penonton kini bersikap terbuka.
“Saya juga harus profesional dengan kerja saya,” katanya yang membawakan watak Elfa di dalam filem berkenaan di samping dua aktor berbakat besar, Bront Palarae dan Remy Ishak.
Aisya berkata, dia berpeluang menimba ilmu ketika bersama pelakon hebat berkenaan dan mereka ibarat sebuah keluarga besar.
“Bront serta Remy tidak lokek berkongsi ilmu dan saya harap selepas ini kami akan berpeluang bekerja sekali lagi,” ujarnya.
Kau Takdirku arahan Jason Chong akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 7 September depan.
Teks Oleh:Aqmar Mustaza
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI