Berita

AIM25: Awal Ashaari, Scha Alyahya & Sheera Abang Mansur Bakal Jadi Hos, Penampilan Siti Nurhaliza, Hujan & Fajar Noor Hangatkan Sambutan Jubli Perak

Share

Pasangan selebriti, Awal Ashaari dan Scha Alyahya bakal bergandingan sebagai pengacara Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang dijadual berlangsung pada 26 September depan.

Gandingan suami isteri itu akan turut diserikan dengan kehadiran personaliti TVS, Sheera Abang Mansur, yang bersama-sama mengendalikan malam kemuncak AIM25.

Lebih istimewa, penganjuran AIM25 buat julung kalinya akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam penganjuran anugerah berprestij itu.

Barisan Penghibur Meriahkan Pentas Jubli Perak

Dalam pada itu, AIM25 bakal menampilkan barisan penyanyi popular serta bakat baharu bagi menghiburkan tetamu dan penonton menerusi persembahan istimewa.

Antara artis yang bakal membuat persembahan termasuk Budianita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hafiz Suip, Hael Husaini, Adira Suhaimi, Hujan dan ramai lagi.

Penyanyi Indonesia, Fajar Noor turut dijadualkan membuat penampilan istimewa pada acara berprestij berkenaan.

Sebagai edisi Jubli Perak, AIM25 dijangka menjadi pentas istimewa yang bukan sahaja meraikan pencapaian muzik tempatan, malah mengetengahkan kepelbagaian bakat serta warna industri muzik Malaysia.

Penganjur Harap Isu Jerebu Tidak Jejas AIM25

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim, persembahan pada malam kemuncak AIM25 disusun rapi bagi menampilkan perjalanan kepelbagaian genre sepanjang 25 tahun muzik Malaysia.

“AIM25 akan menampilkan pelbagai genre muzik termasuk pop, rock, balada dan lain-lain.

“Kami juga teruja untuk membawa AIM ke Sarawak buat pertama kali, di samping meraikan kepelbagaian bakat dan muzik Malaysia yang diwakili barisan finalis tahun ini,” katanya.

Rosmin berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman pengacara dan penyampai trofi AIM25 yang berlangsung di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mengulas mengenai situasi terkini jerebu di Sarawak, Rosmin berharap bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di negeri itu akan bertambah baik menjelang malam kemuncak anugerah berprestij tersebut.

“Berkenaan jerebu, kami berdoa agar debu itu akan hilang ketika AIM25 berlangsung nanti.

“Selebihnya, kita lihat nanti bagaimana,” ulasnya lagi.

Terdahulu, AIM25 akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TVS di Saluran 122 (Astro) dan TVS Inspire.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf