
Afieq Shazwan
Pelakon dan penyanyi Afieq Shazwan mendedahkan dia bakal mengakhiri zaman bujang dalam tempoh dua tahun lagi.
Menurut Afieq, dia sudah mempunyai perancangan ke arah perkahwinan, namun pada masa sama mengakui masih belum bersedia untuk melangkah ke fasa tersebut.
“Kami mensasarkan sekitar tahun 2028.
“Tarikh itu juga telah dipilih, iaitu pada 28 Ogos 2028.
“Kalau sudah jodoh, pastinya tak ke mana. Tetapi perancangan itu sudah ada,” katanya kepada MH.
Afieq berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama berjudul Sekali Lagi Bahagia yang berlangsung di A Quiet Place, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa.
Baca Artikel Lain;
Dalam pada itu, pelakon drama Wadi tersebut menganggap perkahwinan sebagai satu tanggungjawab besar yang tidak seharusnya dilakukan secara terburu-buru.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab yang besar. Saya tidak mahu terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan keluarga.
“Pada masa sama, saya juga tidak mahu menghalang apa yang diinginkan oleh pasangan.
“Jadi, biarlah kami mengejar impian masing-masing terlebih dahulu. Apabila benar-benar bersedia, barulah kami akan melangkah ke arah itu,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Afieq memilih untuk tidak terlalu mendedahkan hubungan di media sosial kerana melihat pendekatan tersebut sebagai satu langkah yang lebih baik dalam menjaga keharmonian mereka.
“Apabila sesuatu hubungan terlalu didedahkan, kita tidak dapat menjangka kesannya. Kadangkala ia boleh menimbulkan salah faham.
“Buat masa ini, kami lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya masing-masing.
“Jika orang tidak tahu, hubungan tersebut akan menjadi lebih mudah dari segi komunikasi. Tiada orang akan berkata apa-apa,” ujarnya.
Terdahulu, Afieq pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa bersama penyanyi Wani Kayrie ketika menyertai program Big Stage 2018.
Perkara tersebut turut menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai apabila ada yang mendakwa mereka saling berbalas rasa menerusi lagu Cak Cak Cekuk dan Kepak Kepuk.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.