“Abi Tahan Air Mata Tadi,” – Ardell Aryana Sertai Misi Bantuan Covid-19 Di Sabah, Ini Luahan Suami Nadzmi Adhwa

Share

Pelakon, Nadzmi Adhwa berharap agar orang ramai dapat mendoakan keselamatan isterinya, Ardell Aryana yang baru sahaja berangkat menjalani misi bantuan kemanusiaan di bumi Sabah bagi membantu mereka yang terkesan gara-gara penularan wabak Covid-19.

Menurut Nadzmi, dia berharap agar Allah dapat melindungi isterinya itu sepanjang berada di kawasan zon merah tersebut.

“Salam semua nak minta kalian semua doakan isteri saya selamat pergi dan selamat pulang. Semoga Allah sentiasa menjaga dan melindungimu di Sabah.

“Bantulah mereka sepenuh daya mu. Doa saya sentiasa mengiringimu. Semoga Allah redha dengan niat perjuanganmu Saya sayang awak. Abi tahan airmata tadi,” tulisnya.

Kenyataan itu dikongsikan oleh bapa kepada seorang anak itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

Video berdurasi hampir 50 saat itu memperlihatkan Nadzmi bersama anaknya yang baru berusia empat bulan sedang menghantar Ardell ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 awal pagi tadi.

Entri berkenaan nyata menarik perhatian ramai selepas meraih lebih 300, 000 jumlah tontonan selain turut dihujani ribuan komen.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen tersentuh melihat perkongsian tersebut selain turut mendoakan kesejahteraan Ardell sepanjang berada di bumi di bawah bayu itu.

Terdahulu, Nadzmi dan Ardell telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 1 September 2019.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini akhirnya dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Arwa Malaikha Urwa.

Sumber: Instagram Nadzmi Adhwa

IKLAN