
A. Aida
Penerbit Datuk A. Aida tampil menjelaskan kenyataan berhubung wang hantaran bernilai RM10 juta buat mereka yang berhajat mahu memperisterikan anak keduanya, penyanyi dan hos Azeva Natassha.
Menurut A. Aida, nilai berkenaan hanyalah sekadar gurauan dan bukanlah satu syarat sebenar.
Malah, dia juga mengakui belum bersedia untuk melepaskan anaknya melangkah ke alam perkahwinan memandangkan Azeva baru saja mahu beri fokus terhadap kerjaya seni.
“Sebenarnya, isu berkaitan hantaran bernilai RM10 juta itu, tidaklah bermaksud apa-apa. Saya tahu perkara itu tidak akan berlaku, sebab itulah saya sebutnya dalam nada gurau.
“Maksudnya di sini juga, saya tidak mahu melepaskan anak saya buat masa ini kepada sesiapa yang berhajat. Dia baru saja mahu bina nama sendiri dalam bidang seni,” katanya kepada MH.
A. Aida menambah, buat masa ini dia memberi sokongan penuh terhadap Azeva agar fokus terhadap kerjaya serta belajar membina kehidupan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Jelas penerbit filem Ratu Kalajengking itu lagi, dia mahu anaknya merasai sendiri perjalanan hidup dari bawah sebelum memikirkan soal rumah tangga.
“Kalau ikutkan, RM10 juta pun pada masa sekarang, saya tidak akan terima. Saya mahu Azeva belajar dahulu hidup berdikari seperti saya. Hidup daripada ‘zero to hero’.
“Cari duit sendiri dan tidak mengharapkan duit orang lain. Ketika namanya kini sedang jadi perhatian, carilah duit dan kumpul aset terlebih dahulu.
“Bila sudah ada semuanya nanti, kalau jumpa pasangan tak kaya pun tak mengapa. Namun, individu itu haruslah punyai kerjaya.
“Dalam hidup ini, kita kena bertimbang saya dan saling bantu membantu. Itu pendapat saya yang sudah lama hidup sebagai ibu tunggal,” ujarnya lagi.
Baca Artikel Lain;
Menurut A. Aida lagi, sikap berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain menjadi prinsip yang diterapkannya kepada Azeva dan anak-anaknya yang lain sejak kecil.
Malah, dia percaya seseorang yang memiliki kewangan kukuh serta mampu berdiri atas kaki sendiri tidak mudah dipandang rendah oleh orang lain.
“Saya nak Azeva berusaha mencari duit sendiri. Kalau kita mengharapkan duit orang, rasa penerimaan dan hormat itu tidak akan ada. Ini adalah pengalaman hidup saya.
“Bila kita berduit, orang akan pandang kita lain. Biarlah kita berduit (ada sumber kewangan). Macam saya dahulu, 10 sen pun saya tak pernah minta pada lelaki.
“Dari dahulu lagi, apa saja yang saya nak dan berhajat, saya beli dengan duit atas hasil usaha sendiri.
“Jadi begitulah juga cara saya nak didik Azeva dan adik beradiknya yang lain. Bekerja dan carilah duit sendiri. Insya-Allah kita akan boleh jadi rajin sebab kita kena usaha sendiri dan tahu ia bukan hal senang,” akhirinya.
Sebelum ini, A. Aida mencuri perhatian apabila berseloroh mengenai wang hantaran RM10 juta bagi mana-mana individu yang ingin memperisterikan Azeva.
Dalam masa sama, dia turut mendedahkan menerima banyak mesej peribadi (DM) di media sosial daripada pelbagai pihak, termasuk golongan artis, yang cuba mendekatinya semata-mata untuk berkenalan dengan hos Big Stage Rocketfuel itu.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
@mediahiburanofficial Penerbit terkenal, Datuk A. Aida mahu anaknya yang juga penyanyi, Azeva Natassha, memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya terlebih dahulu sebelum memikirkan soal jodoh. Menurut A. Aida, bukan mudah untuk membina nama dalam industri seni. Justeru, dia tidak mahu perjalanan seni Azeva terjejas hanya kerana dikaitkan dengan gosip murahan 👍🏻❤️ #MHnews #MediaHiburan ♬ original sound – Media Hiburan