Hiburan

Ada Yang Bertugas Sebagai Jururawat, Bergelar Saintis, & Fighter Muay Thai, 6 Peserta Borneo Rising Ini Rupanya Bukan Biasa-Biasa!

Share

Meskipun baru memasuki minggu pertama saingan, bahang program realiti terbaharu, Borneo Rising kian terasa apabila setiap peserta berusaha memberikan persembahan terbaik bagi memikat hati juri dan penonton.

Selain menampilkan kualiti persembahan yang baik, barisan enam daripada dua belas peserta berbakat dari Borneo ini sebenarnya hadir dengan latar belakang serta kisah perjalanan hidup yang berbeza.

Dabra

Dabra Sia Ying Ying, 35, bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi dan komposer di Sabah, tetapi turut mempunyai latar belakang sebagai jururawat dengan pengalaman selama 14 tahun.

Berasal dari Likas, Sabah dan beretnik Sino Dusun, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut aktif menghasilkan karya sendiri.

Antara lagu yang berjaya mencuri perhatian adalah Hanya Di Sabah yang meraih 5.9 juta tontonan di YouTube, diikuti Hiti Noh Masoku dengan 2.1 juta tontonan serta Senyuman Sabahan yang kini mencatatkan 1.9 juta tontonan.

Lebih membanggakan, Dabra juga difahamkan bakal berkolaborasi bersama penyanyi muzik tradisi Jepun, Ukino, di Okinawa.

Jecinta

Berasal dari Miri, Sarawak, Jecinta Olivia mula menyimpan minat terhadap dunia nyanyian sejak berusia lima tahun hasil dorongan bapanya.

Pernah bekerja sebagai barista, Jecinta yang juga berbangsa Iban kini memberi tumpuan sepenuhnya terhadap seni, sebagai seorang self-taught creative yang bukan sahaja aktif menyanyi, dia juga berkemahiran dalam lukisan, mencipta lagu serta membuat susunan muzik sendiri.

Jecinta juga pernah mencipta kejayaan apabila bergelar juara pertandingan lagu Iban di Boulevard Hypermarket pada 2021.

Syukri

Sementara itu, Muhammad Syukri Arip yang merupakan anak jati Kinabatangan, Sabah berketurunan Sungai yang memiliki latar belakang cukup unik.

Minatnya terhadap muzik dipengaruhi bapanya yang juga seorang guru muzik. Syukri mahir bermain pelbagai alat muzik tradisional Sabah seperti gabang kayu, kuling tangan, gong dan tambur.

Bakatnya bukan sahaja terserlah di pentas tempatan apabila pernah menduduki tempat kedua dalam The Spirit of Sabah Battle of the Bands dan pernah membuat persembahan muzik tradisional bersama kumpulannya di World Travel Market di London.

Lebih membanggakan, Syukri memegang status sebagai juara Anugerah Khas Mencipta Lagu Bahasa Etnik Sungai Seluruh Sabah menerusi lagu Biar Noh Oku Kondiri yang membawa maksud ‘Biarlah Aku Sendiri’.

Dia juga turut mempunyai pengalaman selama empat tahun mengusahakan perniagaan kedai gunting rambut.

Petrova

Petrova Catherine merupakan gadis berbangsa Kadazan dari Papar, Sabah yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang sains apabila memiliki Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Anak kedua daripada empat beradik itu dibesarkan dalam keluarga perubatan apabila kedua-dua ibu bapanya merupakan doktor.

Namun, minatnya terhadap seni persembahan terus berkembang seiring dengan kecenderungannya terhadap dunia sains dan pendidikan.

Dalam bidang muzik, Petrova pernah membuat persembahan di Bintang Sudirman Universe 2026 serta Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Kaamatan Papar 2026.

Dia turut mencipta kejayaan apabila bergelar juara Sugandoi Edisi Inanam, sekali gus melayakkan diri ke peringkat Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA).

Harris

Kini bergelar penyanyi, Mohammad Harriz Mukhriz yang berasal dari Kuching, Sarawak dan berbangsa Melayu mula berkecimpung dalam dunia nyanyian sejak kecil hasil dorongan serta inspirasi daripada bapanya yang turut aktif menyertai pertandingan nyanyian.

Bakatnya mula mendapat perhatian sejurus penyertaan dalam program Bintang Kecil RTM pada 2014 dan menduduki tempat ketiga, sebelum kembali sebagai finalis setahun selepas itu.

Harris turut mencuba nasib dalam program realiti Ceria All Stars ketika berusia 10 tahun dan berjaya mara ke peringkat akhir.

Pengalamannya di pentas besar turut merangkumi persembahan di Countdown 2025 Kuching, sambutan Hari Sarawak 2024 bersama Hafiz Suip serta acara pembukaan dan penutupan SUKMA 2024.

Aadel

Aadel atau nama sebenarnya Hardil Haron berusia 30 tahun dan berasal dari Kuching, Sarawak.

Borneo Rising merupakan program realiti pertama Astro yang diadakan sepenuhnya di luar Lembah Klang, iaitu di ITCC Grand Ballroom, Penampang, Kota Kinabalu, Sabah.

Program itu turut menampilkan gandingan selebriti terkenal Zizan Razak dan Sherry Alhadad selaku hos. Sementara itu, tiga penyanyi popular iaitu Shila Amzah, Noh Salleh dan Marsha Milan diberi tanggungjawab sebagai juri tetap.

Borneo Rising diterbitkan oleh Astro dengan RTM sebagai Rakan Penyiar Rasmi dan CelcomDigi selaku Penaja Utama.

Borneo Rising disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam menerusiAstro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146). Ia juga boleh distrim secara On Demand menerusi Astro GO, Sooka dan RTMKlik.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf