Select Page

Selepas memenangi program Mentor musim kelima tidak lama dulu, Salma dianggap sebagai antara penyanyi wanita yang mempunyai kualiti vokal yang begitu meyakinkan.

Buktinya, single sulung yang berjudul Aku Permata berjaya menaikkan pemilik nama lengkap Asmah A.Asis ini di persada seni tempatan.

Bagaimanapun, single tersebut tidak berapa ampuh untuk memberikan sinar yang lebih kemilau dalam kerjaya nyanyiannya selepas itu.

Sehinggalah, Salma sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila dinobatkan sebagai pemenang 3 Juara musim pertama.

Terkini, kredibilitinya sekali lagi teruji apabila dia kini gigih mempromosikan lagu terbaru, Akhirnya Cinta sejak April lalu.

Lagu yang dinukilkan Ajai bersama Slen ini dilihat sebagai alternatif terbaik buatnya untuk terus bernafas dalam industri.

“Lagu tersebut sebenarnya dirakam pada Februari lalu. Namun rangka promosinya berjalan sekitar April lalu.

 

“Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima terhadap lagu tersebut boleh dikatakan baik, memandangkan lagu itu juga turut dimainkan di dalam drama Ku Kirim Cinta yang disiarkan menerusi slot Akasia lakonan Ayda Jebat dan Redza Rosli.

 

“Jadi secara tidak langsung, saya kira itu juga sebagai satu strategi promosi yang baik,” katanya ketika dihubungi Media Hiburan.

Meletakkan harapan besar agar lagu tersebut turut mencipta fenomena sama seperti Aku Permata, penyanyi asal Tawau, Sabah ini akui, lagu itu menyaksikan sisi nyanyiannya yang lebih matang dari sebelumnya.

“Jika lagu Aku Permata lebih memberi fokus pada vokal, namun Akhirnya Cinta ini lebih memberi penekanan terhadap emosi. Lagunya lebih mendayu-dayu dan harapnya mampu membuai perasaan pendengar.

 

“Tambah pula, lagu ini berkaitan dengan cinta, jadi pastinya saya mahu suntik emosi yang lebih terhadap lagu ini,” terangnya yang turut merancang untuk melancarkan album mini.

 

“Perancangan itu ada dan saya memberi pekepercayaan penuh kepada Ajai terhadap projek album mini ini.

 

“Kalau boleh, saya mahu pasarkan album tersebut pada tahun ini juga. Insya-ALLAH, kita tengok dulu sejauhmana sambutan yang bakal diterima terhadap Akhirnya, Cinta ini.

 

“Selepas itulah, baru fokus untuk menghasilkan album mini tersebut,” tambah Salma yang turut menambah, album itu nanti akan mempunyai lima buah lagu.

Ditanya mengenai apakah harapan dan ekspektasinya terhadap single baru tersebut, Salma nyata mengharapkan sesuatu yang bermakna. Katanya;

“Seperti yang diberitahu, saya berharap agar lagu ini pun boleh pergi jauh sebagaimana Aku Permata. Sampai sekarang peminat masih tahu akan lagu tersebut. Jadi, saya mahu momentum yang sama terhadap lagu ini juga, Insya-ALLAH.

 

“Sebab kalau kita lihat sekarang pun, lagu cinta lebih besar skala pendengarnya. Jadi pastinya saya juga mahu mengambil peluang yang ada, sekali gus memberi ruang buat Akhirnya Cinta agar terus menjadi pilihan pencinta muzik.

 

“Lagu tersebut juga sudah berada di semua platform muzik digital dan video liriknya juga sudah dimuat naik di YouTube sejak dua minggu lalu.

 

“Sehingga kini, ia sudah pun ditonton hampir 100,000 kali. Alhamdulillah, semoga ramai yang suka dengan lagu ini,” akhiri Salma menggenggam harap.

 

Comments

error: