Kebanyakan selebriti memilih untuk berehat panjang sebaik disahkan hamil, lebih-lebih lagi membabitkan kehamilan pertama.

Namun kebiasaan itu tidak dilakukan pengacara, pelakon dan pelawak, Jihan Muse yang kini hamil enam bulan.

Menurut Jihan, dia tidak betah berehat di rumah dan atas faktor itu, dia tetap meneruskan kerjayanya sebaik memasuki trimester kedua kehamilan.

“Ketika trimester pertama, saya alahan teruk hingga terpaksa batalkan beberapa kerja dan projek. Alhamdulillah, sekarang dah masuk enam bulan dan saya juga bebas alahan. Lagipun tak naklah duduk rumah kembangkan badan,” kata Jihan yang sudah kembali bekerja dan memenuhi undangan sejak kandungannya empat bulan.

Jalani Pembedahan, Punca Jihan Berahsia Di Awal Kehamilan

Artis berusia 34 tahun ini juga berkata, dia sudah puas berehat sejak tiga bulan pertama kehamilan manakala suaminya, Ungku Hariz juga tidak menghalang untuk kembali bekerja.

Jihan ketika ditemui pada pelancaran Anugerah Skrin 2017 (ASK2017), di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur, baru-baru ini juga memberitahu, hanya akan mula berehat selepas tamat program Gegar Vaganza 4 Disember depan kerana tidak mengalami sebarang masalah.

IKLAN

“Apa yang penting ukur baju di badan sendiri, macam aktiviti lasak, tak payahlah lakukan. Begitu juga dengan komitmen untuk majlis besar macam ASK2017. Saya kira produksi pun sedia maklum keadaan saya dan tentulah mereka dah sediakan apa yang patut seperti kemudahan toilet berdekatan.

 

“Lagipun ini merupakan job pertama saya dengan TV3 untuk majlis besar seperti ini, jadi saya kira ini rezeki yang tak patut saya tolak.

 

”Ia juga sebagai bukti saya bebas bekerja dengan mana-mana stesen TV, walaupun selama ini orang ingat saya terikat di bawah Astro.

Jalani Pembedahan, Punca Jihan Berahsia Di Awal Kehamilan

Jihan turut bercadang membuat persiapan dan berehat sepenuhnya selepas tamat Gegar Vaganza.

Selain Jihan, Fahrin Ahmad dan Shuk Balas juga bakal mengacarakan malam kemuncak ASK2017 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 3 November depan.

IKLAN

Sementara itu, Jihan menjelaskan, dia terpaksa merahsiakan kehamilannya ketika awal kandungan kerana masih baru.

Bukan itu sahaja, dia juga disahkan mengalami apendiks ketika bulan ketiga kehamilan sehingga perlu menjalani pembedahan kecil.

“Saya tak nafikan ramai yang bertanya dan mempertikaikan kenapa saya begitu berahsia pada awal kehamilan. Sebenarnya pembedahan itu juga memberi risiko pada kandungan.

 

“Atas sebab itu, saya tak yakin untuk berkongsi dan terpaksa menutup mulut sehingga memasuki empat bulan,” jelasnya yang baru pulang dari negara matahari terbit bagi penggambaran musim ketiga program Jejak Jepun Jihan.

Rujuk pakar

IKLAN

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman hamil kali pertama, Jihan berkata, dia tidak mengidam sebarang makanan seperti kebanyakan wanita hamil namun banyak merujuk perkara yang kurang jelas kepada doktor.

“Setiap kali nak buat aktiviti atau nak makan sesuatu, saya akan tanya doktor dulu sama ada boleh atau tidak.

 

“Selain itu, saya juga banyakkan membaca untuk menambah pengetahuan apa yang boleh dan tidak sepanjang kehamilan.

 

“Perasaan ketika hamil ini memang tak boleh dijelaskan dan saya rasa seronok kerana apa sahaja yang saya buat kini, saya boleh share dan bercakap dengannya, walaupun anak masih di dalam perut,” katanya yang dijangka bersalin Januari depan.

Jalani Pembedahan, Punca Jihan Berahsia Di Awal Kehamilan

Jihan berkata, dia juga belum membuat persiapan dan tidak kisah soal jantina anak yang bakal dilahirkan kelak.

“Yang penting, cukup sifat dan sihat itu sudah memadai untuk saya,” ujarnya yang turut mengamalkan makanan sunnah dari awal kehamilannya.

Teks oleh: Aqmar Mustaza

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI