Select Page

Mengambil keberkatan Ramadan, penyanyi Fazli Zainal dan Bob Yusof kini hadir dengan single duet, Kurnia terbitan Arteffects International.

Lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik Ahmad Fedtri Yahya ini, merupakan lagu berbentuk kerohanian yang dikira sesuai untuk halwa telinga pencinta lagu genre berkenaan di bulan mulia ini.

Dirakam pada April lalu, Fazli ketika dihubungi Media Hiburan memberitahu, lagu tersebut projek istimewanya bersama Bob Yusof.
 
Juga, ia sebagai salah satu alternatif terbaik buat keduanya untuk beri sesuatu yang bermakna buat peminat.

“Kami rakam lagu tersebut lebih sebulan lalu di studio Hafiz Hamidun dan idea untuk rakamkan lagu duet ini sebenarnya tercetus ketika saya buat persembahan duet bersama Intan Sarafina dalam Gegar Vaganza musim lalu.

 

“Selepas selesai persembahan lagu Kau Yang Tersakiti, ada yang tanya saya, mengapa tidak rakam sebuah lagu duet? Saya fikir ia satu idea yang bagus sebab saya sendiri belum pernah ada lagu seumpamanya sebelum ini.

 

“Dulu ada juga pelawaan untuk rakam lagu duet misalnya bersama Nora dan Liza Hanim. Tapi ketika itu saya masih belum berani ambil cabaran dan kurang yakin sebab mereka nama yang sedia boom dalam dunia seni.

 

“Jadi saya pendamkan niat tersebut sehinggalah, Ahmad Fedtri Yahya sekali lagi beri tawaran sama. Kemudian saya, Bob, Fedtri dan Hafiz berbincang, kembangkan idea untuk projek lagu duet lalu muncul Kurnia.

 

“Single ini berbeza dari lagu-lagu yang pernah kami nyanyikan sebelum ini sebab ia genre bersifat Islamik dan kerohanian.
 
“Konsepnya juga moden tapi lagu dakwah. Malah perjalanan lagu itu menjurus kepada malam Lailatulqadar,” ujar Fazli akui lagu tersebut adalah signal buat mereka untuk cabar diri dalam nyanyian.

Berkongsi kerjasamanya bersama Bob Yusof, Fazli berkata, pemilihan penyanyi tersebut sebagai rakan duet untuk Kurnia dilihat pilihan paling tepat. Apatah lagi, kredibiliti dan vokal penyanyi yang lahir dari Akademi Fantasia 2 (AF2) itu sudah pun terbukti hebat.

“Kalau nak diikutkan, kami sama-sama naik dalam industri. Dia bermula dengan AF2 sementara saya pula cari tapak dalam seni sementelah jadi peserta untuk Malaysian Idol musim pertama.
 
“Kami pernah berentap untuk kategori Artis Baru Terbaik AIM.

 

“Jadi simbolik itulah yang saya rasa menjadi satu keistimewaan terhadap kolaborasi ini.

 

“Perjalanan seni kami lebih kurang sama. Sebab kalau dulu kita ada duet lelaki yang begitu power iaitu M Nasir dan Jamal Abdillah bagi lagu Ghazal Untuk Rabiah.

 

“Jadi mengapa tidak untuk kami, yang sebelum ini sinonim dengan lagu pop cabar diri dan cuba genre baru menerusi Kurnia,” optimis Fazli memberitahu, lagu tersebut boleh didengar di platform muzik digital dan YouTube.

Fazli yang cukup popular dengan lagu Harapan menanam hasrat agar single ini dapat diterima ramai, lebih-lebih lagi pada Ramadan ini.

“Memang kami sasar lagu ini untuk dimainkan sepanjang bulan puasa. Sudah tentu kami harap reaksi positif pendengar terhadap Kurnia.

 

“Jika kebelakangan ini halwa telinga peminat muzik didedahkan dengan lagu-lagu balada, Kurnia adalah suatu yang berbeza dan punya keistimewaan tersendiri.

 

“Semoga lagu ini juga diputarkan di stesen radio seluruh negara dan sebagai penyanyi, besar impian saya untuk melihat lagu ini pergi jauh sepertimana lagu-lagu popular sedia ada masa kini, insya-ALLAH,” akhiri Fazli.

Baca Ini Juga

Tinggalkan Komen

error: