Tersentuh hati dengan nasib pelarian Syria, pelawak dan penerbit, Afdlin Shauki bakal melaksanakan misi kemanusiaan iaitu Misi Bantuan Pelarian Syria di Lubnan pada 10 Jun ini.

Katanya, misi kemanusiaan itu bertujuan untuk memberi bantuan dalam bentuk kewangan, makanan dan ubat-ubatan.

“Saya sayu dan sedih apabila mendengar pelarian Syria di sana hanya berbuka puasa dengan merebus rumput!,” luahnya pada Media Hiburan ketika ditemui di majlis perasmian Afdlin’s Shell Syiok, baru-baru ini.

Simpati dengan keadaan tersebut, selebriti berusia 46 tahun ini membuat perancangan teliti untuk membantu menerusi Yayasan Afdlin Shauki dan Yayasan Kubra sejak beberapa bulan lalu.

“Walaupun sebahagian besar warga Syria ini mampu untuk bekerja, mereka tidak dibenarkan untuk melakukan apa-apa disebabkan status sebagai pelarian.

 

“Jadi, cara pelarian ini untuk terus hidup adalah dengan bantuan sahaja. Kalau tiada siapa yang membantu, hidup mereka bertambah daif.

 

“Sebab itu, kutipan dana masih diteruskan walaupun selepas tamatnya misi kemanusiaan ini,” katanya yang akan ke sana selama tujuh hari.

Bakal berdepan dengan cuaca musim panas, Afdlin mengakui tidak membuat sebarang persediaan sebaliknya hanya reda dengan qada dan qadar ALLAH SWT.

“Ini adalah pengalaman pertama saya ke Lubnan dan melakukan misi kemanusiaan pada bulan puasa.

 

“Insya-ALLAH, ia tidak akan mendatangkan sebarang masalah berdasarkan beberapa pengalaman lain sebelum ini.

 

“Apa-apa pun, saya percaya kepada konsep reda dan tawakal dengan apa yang berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, bintang filem Papadom ini bersyukur apabila mendapat kebenaran daripada ibunya, Fadzilah Jelani dan keluarganya untuk melaksanakan misi kemanusiaan ini.

IKLAN

“Sebelum ini, saya pernah dihalang oleh ibu dan keluarga untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Yaman, kerana berlaku insiden pengeboman oleh Amerika Syarikat (US) sehari sebelum bertolak ke sana.

“Saya memang tidak suka berfikir bukan-bukan, kerana saya suka mencabar diri sendiri. Kalau orang lain mampu buat kenapa saya tidak?

“Tetapi, saya juga sangat menitikberatkan restu daripada ibu dan keluarga,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Pendidikan dan Kebajikan Yayasan Kubra melalui akaun Bank Islam 14023010012816 (notakan ‘4 Syria).

Afdlin Shauki mohon restu ibu ke Lubnan

IKLAN

Sementara itu, Afdlin melebarkan lagi sayap sebagai ahli perniagaan dengan membuka restoran Afdlin’s Shell Syiok di Metropoint, Kajang.

Walaupun baru seminggu beroperasi, bintang filem Mimpi Moon ini bersyukur apabila restorannya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung.

IKLAN

“Awalnya, saya dan rakan kongsi teragak-agak untuk membuka restoran ini pada Ramadan.

 

“Alhamdulillah, saya tidak sangka permintaan yang diterima menyebabkan restoran ini sering mendapat tempahan untuk berbuka puasa,” katanya.

 

Jelasnya, Afdlin’s Shell Syiok merupakan gabungan pelbagai jenis makanan laut yang disaluti dengan kuah istimewa gabungan kreativiti dan cita rasanya.

“Makanannya agak pelik dengan sos yang berbeza serta menggunakan gabungan daging-daging lembut untuk sup tulang merah,” katanya.

Pada masa sama, pelakon filem Buli turut mengintai peluang perniagaan francais bagi Afdlin’s Shell Syiok.

“Saya menawarkan peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk membuka cawangan restoran ini di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Afdlin turut menyatakan sokongan terhadap kempen Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 24 Ramadan (19 Jun) ini.

Saya sangat menyokong usaha-usaha untuk mengangkat al-Quran al-Kareem yang menjadi sebahagian daripada budaya kita.

 

“Al-Quran bukan menjauhkan kita tetapi membantu kita yang dalam kesusahan dan keresahan memperoleh ketenangan dengan membacanya.

 

“Semoga kita semua mendapat manfaat peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk mendekati kitab suci ALLAH,” katanya menutup bicara.

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI