
Selepas melalui pelbagai fasa perjalanan seni, girl group tempatan, XONE akhirnya tampil membuka lembaran seterusnya menerusi pelancaran single dan muzik video terbaharu mereka bertajuk Eyes On Me yang menandakan penjenamaan semula kumpulan itu.
Dianggotai Nelysa Kay dan Ellya Keesha, karya berkenaan menjadi simbol kematangan serta evolusi peribadi yang dilalui mereka sebagai anak seni. Bagi Nelysa, 22, yang juga merupakan naib juara Dewi Remaja 2025, single ini bukan sekadar memperkenalkan bunyi dan visual baharu, malah membawa makna besar dalam perjalanan XONE.
Menurutnya, setiap fasa yang dilalui kumpulan itu berkembang seiring pengalaman hidup dan proses kematangan mereka sendiri.
“Apabila kami melangkah ke era baharu ini, kami membuat keputusan untuk memperkenalkan konsep segar sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula XONE. Setiap era berkembang bersama perjalanan peribadi kami dan tahap kematangan yang semakin berubah,” katanya kepada Media Hiburan.

Tambah Nelysa, lagu tersebut dicipta berteraskan sifat muzik XONE yang bersifat lebih menarik perhatian, dengan harapan pendengar akan terus terpaut dan ingin mengikuti perjalanan mereka dalam fasa baharu ini.
“Kami mahu muzik ini menjadi pintu masuk yang membuatkan orang ‘tak boleh berpaling’ apabila XONE bergerak ke hadapan,” sambungnya.
Menariknya, pelancaran muzik video XONE telah dilakukan pada hujung tahun 2025, berdekatan dengan tarikh ulang tahun kelahiran mereka iaitu Nelysa Kay pada 30 Disember dan Ellya Keesha pada 31 Disember. Tradisi ini menjadikan setiap karya terasa lebih peribadi dan bermakna.
“Setiap projek itu terasa seperti hadiah hari jadi yang kami berikan kepada diri sendiri. Ia adalah satu perayaan terhadap kerja keras, dedikasi dan perkembangan kami sepanjang tahun,” jelasnya.
Mengulas pembikinan muzik video pula, Nelysa memaklumkan projek tersebut merupakan karya rasmi pertama XONE yang dihasilkan sepenuhnya secara independen. Tanpa jalan cerita yang berat, XONE memilih pendekatan visual berbentuk statement bagi menandakan kemunculan semula mereka.

Konsep bandar waktu malam dengan sentuhan gaya fesyen era 1990-an hingga awal 2000-an dipilih, selari dengan minat mereka terhadap dunia fesyen.
“Kami memang suka bereksperimen dengan fesyen, jadi kami mulakan muzik video ini di sebuah bilik pereka fesyen yang melambangkan proses kami membentuk versi baharu diri kami sebagai XONE,” katanya.
Idea tersebut kemudiannya diperkemaskan oleh pengarah BukanPyqul dengan suntikan visual efek kreatif, termasuk babak MRT ikonik yang diinspirasikan oleh jenama tempatan TURBO, kemunculan seekor kucing kecil di awal video serta elemen VFX yang direka sepenuhnya dari awal oleh artis tempatan, Minimal.
Dalam masa sama, XONE turut berbangga apabila keseluruhan produksi muzik video tersebut digerakkan 100 peratus oleh bakat tempatan, daripada produksi lagu, koreografi, penggambaran, suntingan sehinggalah visual efek.
“Malaysia penuh dengan bakat luar biasa. Kami berharap muzik video ini dapat membuka mata dan menggalakkan lebih ramai orang menyokong penggiat seni tempatan,” katanya. Projek ini turut mendapat sokongan jenama tempatan TOMAZ dan TURBO, selain XONE sendiri.

Kemunculan empat finalis Dewi Remaja 2025 dalam muzik video ini turut mencuri perhatian penonton. Menurut Nelysa, penggambaran dilakukan hanya sehari selepas malam finale, manakala keputusan membawa masuk cameo dibuat pada saat akhir oleh pengarah.
BACA JUGA: Nylea Juara Dewi Remaja 2025! Bawa Pulang Mahkota Keramat & Wang Tunai RM15,000
Namun, sokongan rakan-rakan seperjuangan hadir tanpa ragu apabila Nylea, Elisa Chew, Teya B dan Ariana Ryry tampil membantu menyerikan lagi muzik video berkenaan walaupun masing-masing keletihan selepas jadual padat.
Secara keseluruhan, kemunculan semula XONE menerusi karya terbaharu ini memperlihatkan keyakinan baharu Nelysa dan Ellya Keesha dalam mengemudi perjalanan seni mereka.
Imbas kembali, bakat yang dimiliki oleh duo XONE ini bukanlah calang-calang, mereka pernah tercalon dalam senarai top 5 Artis Baharu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menerusi lagu terdahulu mereka, Lantaklah.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




