
Rapper terkenal Amerika Syarikat, Wiz Khalifa, dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan oleh mahkamah Romania selepas didapati bersalah memiliki dan menggunakan dadah ketika membuat persembahan di sebuah festival muzik, tahun lalu.
Menurut laporan media antarabangsa, keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Rayuan Constanța susulan insiden yang berlaku ketika Wiz Khalifa atau nama sebenarnya Cameron Jibril Thomaz, tampil membuat persembahan di Beach, Please! Festival di Costinesti pada Julai 2024.
Dalam kejadian berkenaan, Wiz Khalifa didakwa merokok ganja secara terbuka di atas pentas di hadapan ribuan penonton, selain memiliki lebih 18 gram bahan terlarang itu. Rakaman insiden berkenaan kemudiannya tular di media sosial sebelum menarik perhatian pihak berkuasa tempatan.
Mahkamah memutuskan perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang dadah Romania, malah disifatkan sebagai tindakan yang boleh menormalisasikan tingkah laku haram di ruang awam, khususnya dalam kalangan generasi muda.
BACA JUGA: Pelawak Ditemui ‘Overdose’ Dadah Di Tepi Jalan

Difahamkan, hukuman itu dijatuhkan in absentia kerana penyanyi lagu See You Again itu tidak berada di Romania ketika prosiding mahkamah berlangsung. Sebelum ini, Wiz Khalifa hanya dikenakan denda, namun keputusan tersebut dibatalkan dan digantikan dengan hukuman penjara.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu masih menjadi persoalan memandangkan Wiz Khalifa merupakan warganegara Amerika Syarikat dan tidak menetap di Romania. Setakat ini, tiada pengesahan sama ada pihak berkuasa Romania akan mengemukakan permohonan ekstradisi terhadap artis berkenaan.
Kes tersebut mencetuskan perbincangan di peringkat antarabangsa mengenai perbezaan undang-undang berkaitan ganja antara negara, apabila bahan itu dibenarkan di beberapa negeri di Amerika Syarikat namun kekal haram di Romania.
Sehingga kini, Wiz Khalifa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung keputusan mahkamah berkenaan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




