
Pelakon dan bintang Hollywood, Will Smith, berdepan tindakan undang-undang apabila seorang pemuzik violin profesional, Brian King Joseph, menfailkan saman terhadapnya atas dakwaan gangguan seksual dan pemecatan tidak adil.
Menurut dokumen saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi California pada 30 Disember lalu, Joseph yang pernah menjadi finalis rancangan realiti America’s Got Talent, mendakwa insiden berkenaan berlaku ketika beliau terlibat dalam siri konsert Based on a True Story: 2025 Tour
yang diterajui Smith.Joseph mendakwa hubungan profesional mereka bermula secara baik selepas beberapa kolaborasi pada penghujung 2024, sebelum beliau ditawarkan menyertai pasukan pemuzik jelajah Smith.
Namun, situasi dikatakan berubah apabila berlaku satu insiden di sebuah hotel di Las Vegas pada Mac 2025 yang menjadi titik tolak kepada tuntutan undang-undang tersebut.
Dalam saman itu, Joseph mendakwa bilik hotelnya telah dimasuki tanpa kebenaran dan beliau menemui beberapa barangan mencurigakan termasuk nota bertulis yang didakwa membawa maksud berunsur seksual.
Keadaan tersebut, menurutnya, menimbulkan rasa takut, tertekan dan tidak selamat sepanjang baki penglibatannya dalam jelajah berkenaan.
Joseph turut mendakwa selepas membuat laporan kepada pihak pengurusan dan pihak berkuasa, beliau telah dikenakan tindakan balas termasuk diburukkan reputasinya serta digugurkan daripada pasukan konsert dan digantikan dengan pemuzik lain.
Tindakan itu, menurut saman tersebut, dianggap sebagai pemecatan yang tidak adil dan satu bentuk pembalasan terhadap aduan yang dibuat olehnya.
Akibat kejadian berkenaan, Joseph menyatakan beliau mengalami tekanan emosi yang serius, trauma psikologi, kerugian kewangan serta kesan buruk terhadap reputasi profesionalnya sebagai pemuzik antarabangsa.
Sementara itu, pihak peguam mewakili Smith menafikan sekeras-kerasnya semua dakwaan yang dibuat oleh Joseph.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, mereka menyifatkan tuntutan berkenaan sebagai palsu, tidak berasas dan bersifat cuai, selain menegaskan bahawa Smith akan mempertahankan dirinya melalui saluran undang-undang yang sewajarnya.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan