
Konsert minggu kedua Kilauan Emas 2025 (KE2025) menyaksikan Ben menjadi peserta pertama yang tersingkir.
Tuah nyata tidak memihak kepada Ben apabila persembahannya menerusi lagu Sekali Aku Jatuh Cinta dendangan asal Allahyarham Nassier Wahab hanya meraih markah terendah iaitu 55.17%.
Peserta asal Sabah ini bagaimanapun dilihat tenang dan menyifatkan perjalanannya di KE2025 sebagai satu pengalaman indah dalam hidupnya.

“Bila tersingkir di minggu kedua ini, perasaan saya biasa sahaja. Saya tidaklah terlalu kecewa kerana sudah berjaya sampai ke tahap ini.
“Saya sudah cuba sedaya upaya saya. Walaupun tersingkir, saya gembira. Ini adalah satu pengalaman terbaik dalam kehidupan saya,” katanya.
Meskipun tidak menyangka akan tersingkir seawal minggu kedua, Ben atau nama sebenarnya Benjamin Amilkasan tetap menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

“Saya memang tak jangka akan tersingkir di minggu kedua ini. Mungkin sudah bukan rezeki saya lagi. Saya terima sahaja apa keputusannya.
“Saya memang ada melakukan kesilapan tapi bagi saya tidak terlalu serius. Nyanyian saya tetap dapat sokongan daripada peminat.
“Apapun terima kasih kepada pihak Kilauan Emas dan Astro kerana memberikan saya peluang ini. Saya hanya mahu mencuba nasib di pentas ini dengan berbekalkan pengalaman yang saya ada,” kongsinya lagi.
Sementara itu, juri tetap KE2025, Ning Baizura menyifatkan persembahan Ben kurang menyengat dari segi emosi sehingga membuatkannya ketinggalan berbanding peserta lain.

“Saya sedih Ben sudah meninggalkan kita di minggu kedua ini. Pada minggu ini, kami mencari kelainan dari segi emosi. Emosi Ben menerusi lagu yang dipilih agak kurang menyengat.
“Namun, walaupun usianya sudah 63 tahun, saya rasa namanya akan lebih laris apabila pulang ke Sabah nanti. Ini bukan perjalanan terakhir untuk Ben.
“Mungkin akan ada banyak lagi persembahan untuk Ben di luar sana nanti. Saya doakan Ben terima lebih banyak rezeki dan terima kasih kerana telah menyinari pentas Kilauan Emas ini,” katanya.
Persembahan Artis Jemputan Hangatkan Pentas
Dalam perkembangan lain, peserta Kinar sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas Berkilau Of The Week untuk dua minggu berturut-turut selepas menampilkan persembahan memukau menerusi lagu I Live My Life For You.

Berikut keputusan penuh minggu kedua;
1. Kinar – 80.12%
2. Zekrai – 77.42%
3. Ezan – 74.20%
4. Leeza – 70.88%
5. Zanie – 65.54%
6. Shah – 65.42%
7. Mazleen – 63.13%
8. Majid – 63.00%
9. Nurul – 62.24%
10. Nawary – 61.21%
11. Vijay – 59.71%
12. Ben – 55.17%
Minggu kedua KE2025 turut digamatkan dengan persembahan bertenaga daripada artis jemputan, iaitu Adam AF2, Aan Ways dan Wan Lestari.

Format Pertandingan & Info Siaran
KE2025 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Sistem pemarkahan ditentukan melalui 70 peratus juri profesional, 20 peratus juri awam serta 10 peratus undian penonton di rumah.
Juara musim ini bakal membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Selain konsert mingguan selama lapan minggu, peminat boleh mengikuti Diari Kilauan Emas 2025 bermula 11 Ogos, setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam, serta Kapsul Profil Peserta mulai 5 Ogos jam 3 petang.
Untuk musim ini, Elly Mazlein kembali sebagai pengacara utama, dibantu pelawak Joey Daud yang mengendalikan segmen belakang pentas dan diari.
Barisan juri pula terdiri daripada primadona Erra Fazira, pelawak Roy Azman serta juri baharu, Ning Baizura sementara Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang bersiaran selepas konsert pada jam 11.30 malam di Astro Prima.
KE2025 juga boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, Astro GO dan aplikasi sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




