
Transcultural Ethnic Rhythms of Malaysia & Asia (TERMA) bukan sekadar nama, tetapi nadi yang menghimpunkan rentak, irama dan gerak tari pelbagai bangsa dari Malaysia hingga ke serata Asia.
Ia menjadi jambatan merentas sempadan, menyatukan seni rakyat dalam satu bahasa sejagat.
Majlis pelancaran Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027 bersama TERMA 2025 telah berlangsung penuh gilang-gemilang di Galeria SA Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.
Acara disempurnakan oleh YB Datuk Borhan bin Aman Shah, Exco Kebudayaan & Perumahan Negeri Selangor, disaksikan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya selaku rakan strategik rasmi Projek Ikon, serta Jom Havoc Event & Management.
Ia turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan JKKN bersempena Festaria’25, bersama penaja seperti Nusa Sentral Sdn Bhd, Che Ani Premium dan Akira Touch, manakala Galeria SA Sentral menjadi venue rasmi.
Pelancaran ini menobatkan Selangor sebagai tuan rumah dengan penyertaan dari lima negara iaitu China, India, Sri Lanka, Thailand dan Indonesia.
Pertandingan persahabatan antarabangsa memperlihatkan keunikan tarian rakyat enam negara, di mana Indonesia dan Malaysia diumumkan pemenang Emas, China dan Thailand membawa pulang Perak, manakala Sri Lanka dan India memenangi Gangsa.
Dalam majlis sama, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengumumkan pelancaran rasmi Projek Ikon Kebudayaan & Pelancongan Antarabangsa 2025–2027 yang menampilkan Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya sebagai rakan strategik utama dalam setiap program antarabangsa.
TERMA 2025 bakal berlangsung pada 11 & 12 Oktober 2025 di Shah Alam dengan kategori penyertaan kebangsaan dan antarabangsa merangkumi 7–12 tahun, 13–17 tahun dan 13 tahun ke atas (Terbuka).
Juara kebangsaan akan mara ke pentas antarabangsa merebut Platinum, Gold, Silver dan Bronze Award, sekaligus mengangkat Malaysia sebagai hab tarian rakyat rantau Asia.

Roots of Zafana & Arkib Zapin Dunia
Bagi memperkasakan kesenian zapin, Noraniza Idris turut melancarkan inisiatif Roots of Zafana dengan penubuhan Zapin Living Lab menerusi arkib digital dan fizikal yang mendokumentasikan penulisan serta kajiannya sendiri.
Inisiatif ini direalisasikan melalui kolaborasi akademik bersama ALAF Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan promosi dan pakej khas daripada TH Travel & Services.
Zapin Living Lab membuka peluang generasi pelapis, khususnya pelajar, untuk menyertai percutian pendidikan zapin.
Setiap bulan, Roots of Zafana akan menjelajah negeri-negeri seluruh Malaysia, meninjau keunikan variasi zapin yang dirakam eksklusif bersama Noraniza Idris dan co-host Ihab Ismail.
Dokumentasi ini dijangka menjadi rujukan rasmi generasi masa depan.
Perjalanan arkib bermula di Kampung Tenglu, Mersing sebelum diperluaskan hingga ke Sepanyol, simbol kesinambungan zapin merentas dunia Islam.
Kemuncaknya, Festival Empayar Akar Kita Zapin (AKZ) Musim ke-6 (AKZ6.0) bakal berlangsung pada 21–25 September 2026 dengan penyertaan antarabangsa.
“Jika dahulu pencarian budaya saya diterjemahkan dalam lagu Irama Malaysia, kini saya mahu melahirkan arkib zapin untuk generasi pelapis.
“Roots of Zafana akan menjadi sumber rujukan warisan yang bertahan lebih 100 tahun akan datang,” katanya.
Majlis sama turut diserikan dengan pra-dengar single baharu, Bintang Terang nyanyian Ihab Ismail dan Azmir Arif di bawah NIPV Management Sdn Bhd.
Sebelum itu, Noraniza Idris mempersembahkan beberapa medley lagu diiringi 39 penari dari Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI) berusia antara 4 hingga 18 tahun.
Pelancaran ini sekali gus memperlihatkan komitmen beliau sebagai Ikon Kebudayaan Pelancongan Antarabangsa, bersama dukungan Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya sebagai rakan strategik rasmi, untuk menjadikan zapin identiti budaya Malaysia yang bernilai tinggi dan berdaya saing di pentas dunia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
View this post on Instagram
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




