
Walaupun berjaya tampil dengan persembahan memukau di konsert akhir Talk To My Manager (TTMM) minggu lalu, hasrat peminat untuk melihat rezeki berpihak kepada Marsya tidak kesampaian apabila pihak produksi mengumumkan penambahan minggu Grand Finale, Ahad ini.
Menurut pengurus yang juga ibunya, penyanyi terkenal Liza Hanim, mereka sebenarnya sudah pun mengetahui mengenai keputusan tersebut lebih awal.
Namun, hal itu bukan alasan untuk tidak memberikan yang terbaik di pentas.
“Sebenarnya kami sudah tahu mengenai penambahan satu minggu lagi. Kami telah dirisik oleh pihak produksi sejak dari minggu keempat lagi. Bila lihat pada jadual, kami pun bersetuju.
“Kami hanya perlu bertahan agar tidak tersingkir. Walaupun kami tahu ada penambahan minggu, itu tidak menjadi alasan buat kami untuk tidak berikan persembahan terbaik.
“Pada saya, setiap persembahan itu akan diabadikan. Sampai bila-bila orang boleh tengok. Marsya telah pun melakukan yang terbaik. Saya bangga dengan dia,” katanya kepada MH.
Mengulas tentang dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan keputusan produksi itu sebagai berat sebelah, khususnya selepas anak kepada pelawak Shuib, iaitu Thalita, tidak dapat membuat persembahan akibat Influenza A, Liza tampil menafikan perkara tersebut.
“Jika mereka ada sekali pun, memang semua peserta akan tetap ke minggu Grand Finale. Itu adalah pemahaman saya. Ada penyingkiran atau tidak, itu kami tak tahu.
“Sebagai keluarga TTMM, kami juga turut bersedih kerana Thalita tak dapat buat persembahan pada minggu ini (Ahad).
“Apapun, kami berharap agar Shuib dan Thalita dapat kembali bangkit dalam keadaan sihat dan selesaikan program ini bersama-sama.
“Jadi, janganlah pertikaikan keputusan ini kerana kami memang sudah tahu sejak awal lagi. Kiranya lakonan kami berjaya. Kami pun tak sangka program ini mendapat sambutan yang luar biasa. Diharapkan peminat juga gembira,” ujarnya.
Dalam pada itu, Liza meluahkan rasa syukur apabila semakin ramai kini menyedari bakat sebenar Marsya selepas menyertai program TTMM.
“Alhamdulillah, itu semua aturan Allah SWT dan doa-doa daripada peminat saya dan Marsya. Saya selalu berpesan kepada Marsya, bila masuk program pertandingan, kita sebenarnya sedang bertanding dengan diri sendiri.
“Itu yang menentukan sama ada persembahan kita lebih baik atau teruk. Kita kena lawan diri sendiri. Alhamdulillah Marsya berjaya dan dia kini sudah tahu bagaimana permainannya.
“Namun, kita kena sentiasa beringat untuk buat persembahan mengikut kemampuan dan diri sendiri. Bila jadi diri sendiri, cepat atau lambat, orang akan nampak kita bersinar,” kongsi Liza lagi.
Sementara itu, Marsya turut mengakui penyertaannya dalam TTMM banyak membantu dirinya keluar dari bayangan populariti ibunya yang sudah lama bertapak dalam industri seni.
“Saya gembira bila orang akhirnya sudah dapat melihat bakat saya. Nama Liza Hanim itu sudah memang sangat besar. Sebelum ini, saya sentiasa merasakan orang akan membandingkan saya dengan mama.
“Nak guna nama mama pun saya takut. Bila masuk program ini, orang sudah mula nampak potensi saya. Kini orang sudah boleh bezakan bakat saya dan mama,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Rasai kebaikan vitamin & probiotik dalam KITSUI Whitie Snow, bantu kulit tampak lebih sihat & berseri.
Rasai kebaikan vitamin & probiotik dalam KITSUI Whitie Snow, bantu kulit tampak lebih sihat & berseri.