Konsert Exist Premium Live @ PJ bakal menjanjikan sesuatu yang cukup istimewa buat para peminat, bukan hanya dari segi persembahan tetapi juga hadiah cabutan bertuah bernilai tinggi yang ditawarkan.
Exists akan memberikan dua hadiah eksklusif iaitu gitar akustik milik Along serta satu set dram penuh jenama PDP kepada dua pemenang bertuah daripada kalangan pembeli tiket konsert tersebut.
Menurut Ujang, hadiah yang diberikan bukan sembarangan, malah mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam perjalanan seni Exists.
“Kami sangat berbesar hati untuk menghadiahkan sebuah gitar akustik kepunyaan Along buat peminat bertuah.
“Gitar Manuel Rodriguez keluaran Sepanyol ini pernah digunakan Along untuk merakamkan lagu-lagu seperti Setanggi Syurga (Inteam), Salam Rindu (Fathi Naim) dan juga persembahan sewaktu Studio Kool bersama Exists sewaktu rangka promosi Konsert Exists Reunion 2019,” katanya.
Malah, kerjasama bersama JS Music turut membolehkan Exists menghadiahkan set drum lengkap profesional.
“Dengan kerjasama JS Music, satu set dram jenama PDP juga akan diberikan kepada peminat bertuah yang merupakan pembeli tiket konsert itu kelak.
“Semua pengumuman tentang tata cara untuk menjadi pemenang akan diumumkan di media sosial dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ujang turut menjelaskan, peminat perlu hadir dan mengikuti sehingga ke pentas pada hari konsert untuk melayakkan diri sebagai pemenang.
“Untuk jadi pemenang, anda harus follow sampai ke pentas JioSpace 20 Disember nanti” ujarnya.
Setiap pembeli tiket juga akan menerima peluang cabutan bertuah yang berbeza mengikut kategori tiket yang dibeli.
Ads
Pemilik tiket Premium akan memperoleh tiga kali peluang, pembeli tiket VIP pula memperoleh dua kali peluang, manakala pembeli tiket Diamond menerima satu peluang untuk memenangi hadiah eksklusif tersebut.
Selain itu, 100 peminat bertuah turut berkesempatan untuk bergambar secara peribadi bersama semua anggota Exists pada malam persembahan berkenaan.
Pengertian ‘Premium’
Selepas berjaya mengadakan siri persembahan tanpa henti sejak tahun 2019 serta kolaborasi bersama Slam pada Julai lalu, Exists mengambil langkah baharu dengan mempersembahkan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, konsert penutup 2025 yang dihasilkan dengan standard eksklusif.
Pada asalnya dijadual berlangsung pada 4 Oktober, namun selepas mempertimbangkan faktor teknikal dan perbincangan antara Exists dan penganjur, konsert tersebut kini ditunda ke 20 Disember 2025 di Petaling Jaya, Selangor.
Ads
“Dengan rendah hati kami di JioBuddy memaklumkan, EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ telah ditunda kepada tarikh baharu iaitu 20 Disember 2025, di lokasi dan waktu yang sama.
“Penundaan tarikh baharu ini adalah kesepakatan bersama Exists supaya penganjuran EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bukan sekadar sebuah lagi persembahan pentas yang biasa ditonton tetapi sesuai dengan tajuk yang dibawa, ia mesti bersifat premium dan eksklusif,” ujar Sean Ng mewakili JioBuddy.
Konsert yang bersifat intim ini dijangka membawa peminat lebih dekat dengan anggota Exists serta perkongsian sentimental mengenai perjalanan muzik mereka.
“Ramai peminat yang mula bertanyakan maksud atau konsep ‘premium’ yang dimaksudkan oleh Exists dalam persembahan kali ini.
“Apa yang boleh kami katakan bahawa konsert kali ini akan menjadi sebuah konsert yang lebih intimate, lebih dekat dan lebih up close and personal yang bakal dirasai oleh semua peminat,” ujar Musa pula.
Selain persembahan lagu-lagu malar segar, peminat juga bakal menikmati sesi perkongsian mengenai kisah di sebalik setiap lagu.
Ads
Sementara itu Ajai berpendapat, konsert ini akan membawa elemen pengalaman baharu yang belum pernah dilakukan Exists sebelum ini.
“Momen seperti ini belum pernah diabadikan dalam mana-mana konsert yang telah dilaksanakan.
“Kami mahu para peminat merasakan makna ‘premium’ yang akan dicambahkan melalui rasa dan nilai sentimental bersama Exists pada malam tersebut,” jelasnya.
Tiket & Informasi Rasmi
Tiket berharga Premium RM588, VIP RM488 dan Diamond RM368, dengan kategori Diamond kini ditambah jumlah kerana permintaan tinggi.
Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rasmi atau melalui talian ‘hotline’ mereka khusus kepada pembeli dalam kategori OKU.
Peminat yang sudah membeli tiket sebelum penundaan tarikh tidak perlu bimbang kerana tiket kekal sah pada tarikh baharu dan sebarang pertanyaan mengenai tiket boleh menghubungi pasukan yang berkaitan.
Untuk pembelian berkumpulan atau korporat pula, diskaun turut disediakan dengan 20% bagi pembelian 30 tiket, 30% untuk 50 tiket dan 40% untuk 100 tiket.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Mengangkat obesiti sebagai isu kesihatan serius, program didik hibur My Body My Life tampil membahaskan pelbagai topik berkaitan komplikasi perubatan akibat penyakit berkenaan, demi manfaat lebih besar buat penonton.
Disiarkan setiap Ahad, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober menerusi saluran TVS 122 MYTV, unifi TV dan Astro, program ini memberi fokus mengupas isu-isu kesihatan yang sering dikaitkan dengan masalah obesiti.
Menurut penerbitnya, Sherry Sidek, My Body My Life membawa penonton menyelami pelbagai komplikasi perubatan berpunca daripada berat badan berlebihan.
“Setiap minggu dalam My Body My Life, kami membincangkan topik berbeza mengenai keadaan perubatan akibat obesiti, agar penonton benar-benar memahami punca serta perkembangannya.
“Paling penting, kami mahu membimbing penonton mengenai tempat mendapatkan rawatan sewajarnya.
“Kami bukan sekadar mahu mendedahkan masalah tetapi menunjukkan jalan penyelesaian yang betul.
“Bagi mencapai matlamat ini, kami akan pastikan wujud keseimbangan yang tepat. Kami memaparkan pesakit sebenar dengan kisah yang menyentuh hati di samping pakar,” katanya
Program 13 episod ini menghimpunkan 30 pakar dari 19 hospital dengan perkongsian ilmu mendalam tentang obesiti.
Ia termasuk Dr. Mustafa Mohammed Taher Al-Khafaji, Datuk Dr. Zanariah Hussein, Dr. Mohammad Ihab Ismail, Dr. Haliza Kamarudin, Dr. Kamarulzaman M. S. Kadir, Prof. Dr. Mohamed Faisal Abdul Hamid, Dr. Norizan Othman dan ramai lagi.
Sherry menjelaskan, pakar-pakar tersebut memberikan penjelasan yang jelas dan sahih supaya penonton memahami kesan terhadap kehidupan sebenar.
Sebagai penerbit, dia amat menitikberatkan kepercayaan pesakit serta tanggungjawab penyampaian maklumat tepat.
“Apabila pesakit berkongsi perjalanan mereka, dia meletakkan kepercayaan kepada kami. Program ini juga mesti menyampaikan maklumat fakta yang kukuh dan boleh dipercayai penonton.
“Sebab itulah kami bekerjasama rapat dengan pelbagai pakar. Setiap seorang daripada dia sangat dihormati dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Ini bagi memastikan maklumat yang kami sampaikan adalah tepat, boleh dipercayai, serta disokong sepenuhnya oleh autoriti perubatan yang sahih dan berkelayakan,” katanya lagi.
Menariknya juga, My Body My Life menampilkan hos Dr. Nisa Nabila, 30, seorang pengamal perubatan dalam pengkhususan penurunan berat badan, perubatan bariatrik, kesihatan metabolik dan kesejahteraan gaya hidup.
Bertugas di Pusat Perubatan Cengild, Dr. Nisa sedar peranan besarnya dalam mendidik masyarakat namun tetap mahu bersikap natural di depan kamera.
“Saya memastikan penyampaian ringkas, menggunakan bahasa seharian, memberi penerangan dengan cara bersembang. Saya bercerita, berjenaka, dan beri contoh kisah sebenar supaya tidak terasa kekok.
“Paling penting, saya menjadi diri-sendiri sebagaimana mengendali dan uruskan pesakit saya. Ini kerana nasihat kesihatan yang baik bukan sahaja harus menyentuh minda, tetapi juga hati,” katanya.
Sepanjang 13 episod ini, terdapat satu topik yang sangat meninggalkan kesan peribadi buat dirinya iaitu isu ketidaksuburan, yang sering tidak dibincangkan secara terbuka.
“Saya bertemu ramai individu luar biasa sepanjang penggambaran dan setiap cerita meninggalkan kesan tersendiri. Tetapi episod paling menyentuh saya secara mendalam adalah episod mengenai ketidaksuburan.
“Di jabatan saya sekarang, kami bekerja rapat dengan pesakit obesiti memerlukan pembedahan penurunan berat badan. Ramai mungkin tidak sedar obesiti berkait rapat dengan ketidaksuburan.
“Saya sudah biasa melihat ramai pasangan berusaha timang zuriat yang sering kali keletihan selepas bertahun-tahun menjalani rawatan. Tanpa disedari, berat badan adalah punca utama kekangan itu,”katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Sering berkongsi rezeki dengan membantu mereka yang memerlukan, pelakon Anzalna Nasir mengakui dapat merasai kemanisan daripada usaha murninya itu.
Menurut Anzalna, meskipun bantuan yang dihulurkan tidak seberapa, ia tetap memberi impak besar dalam kehidupannya.
“Tak pasti doa anak yatim yang mana satu Allah makbulkan. Sebenarnya, tak banyak pun saya belanja mereka. Cuma tanya apa yang mereka teringin nak makan.
“Niatnya cuma nak gembirakan hati mereka. Tapi SubhanAllah, pada hari yang sama juga, Allah bagi rezeki yang tak disangka-sangka pada saya,” tulisnya.
Perkongsian itu dibuat oleh pelakon drama Love You Mr. Arrogant menerusi sebuah hantaran di aplikasi Threads.
Dalam masa sama, Anzalna turut menyeru orang ramai supaya sentiasa melakukan kebaikan dan membantu mereka yang memerlukan.
“Masya-Allah bila Allah nak bagi, sekelip mata saja boleh berlaku.
“Bukan untuk riak, cuma ingin berkongsi supaya kita semua ingat bahawa setiap kebaikan sekecil apa pun, pasti ada ganjarannya di sisi Allah,” kongsinya lagi.
Terdahulu, nama Anzalna sering menjadi perhatian kerana sifatnya yang pemurah.
Sebelum ini, tular di media sosial kisah mengenai Anzalna yang pernah membantu murid susah menyediakan peralatan persekolahan.
Bukan itu sahaja, ibu kepada dua cahaya mata lelaki itu juga pernah membantu keluarga kurang berkemampuan membeli barangan dapur serta keperluan bayi.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram & Threads Anzalna Nasir
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Meskipun prosiding perceraian masih berjalan di mahkamah, status penyanyi dan usahawan Nubhan Ahamad sudah pun diperkatakan selepas kemunculannya menerusi konsert minggu pertama Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), malam tadi.
Mengulas mengenai hal tersebut, Nubhan menyifatkan setiap orang mempunyai pandangan tersendiri sekiranya perkara itu dijadikan bahan jenaka.
“Agak susah untuk saya bercakap mengenai isu seperti ini. Pada saya, ia bergantung kepada penerimaan individu. Gurauan-gurauan itu bukan datang daripada saya.
“Namun, saya harap penerimaan orang ramai tidaklah terlalu negatif,” katanya ketika ditemui selepas konsert minggu pertama GV12 di Auditorium MBSA, Shah Alam, malam tadi.
Jelas Nubhan lagi, dia tidak terlalu memikirkan apa yang berlaku di atas pentas kerana fokusnya hanyalah untuk memberikan persembahan yang terbaik.
“Saya hanya fokus pada persembahan saya sendiri. Bila saya sudah berada di atas pentas, otak saya ‘blank’ dan seperti tidak berfungsi.
“Malah, sebelum persembahan, saya memang tak tahu apa yang mereka katakan di atas pentas. Saya hanya melayan perasaan gementar saya sahaja.
“Fokus saya hanyalah untuk menyampaikan lagu saya dengan baik. Itu sahaja,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Ada Untukmu ini memanjatkan rasa syukur kerana berjaya berada di kedudukan tiga terbaik walau tidak menafikan dirinya agak gementar setelah sekian lama tidak muncul di program televisyen.
“Alhamdulillah, saya berjaya meraih tempat ketiga. Sebelum naik ke pentas, saya memang sangat gementar. Saya sudah lama tidak muncul di televisyen dan buat persembahan.
“Perasaan takut itu seperti baru sahaja nak masuk Akademi Fantasia 5 dahulu. Pengetua saya Datuk Ramli MS juga masih ada di GV12.
“Jadi, perasaan itu sama. Saya terkejut juga kerana dapat komen yang sangat positif daripada Bonda Hetty Koes Endang,” kongsinya.
Sementara itu, Nubhan turut menyangkal dakwaan yang mengatakan dirinya sebagai anak emas kerana mempunyai hubungan baik dengan Ketua Juri GV12, Datuk Ramli MS.
“Kalau betul ada kabel, saya sepatutnya sudah dapat nombor satu dan bukannya nombor tiga. Pada saya, hal seperti itu tidak berlaku. Segala penjurian dan pemilihan dilakukan dengan sangat profesional.
“GV ini bukanlah sebuah program yang enteng-enteng. Mereka punyai kredibiliti dan tak mungkin mereka mahu perlekehkannya semata-mata kerana saya pelajar AF yang menyertai GV12.
“Ia langsung tidak masuk akal. Orang luar boleh buat apa sahaja spekulasi. Penyanyi yang lahir daripada program AF bukannya sedikit. Mereka juga layak bertanding di program ini,” akhirinya.
Malam tadi, Nubhan berada di kedudukan ketiga dengan markah sebanyak 62.50 peratus, di belakang Mark Adam (67.75%) dan Mendua (69.50%).
Sekadar informasi, prosiding pengesahan lafaz cerai antara Nubhan dan isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, bakal bersambung pada 2 Disember depan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan, dan Afzan Nayille.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.