Selepas sekian lama dinantikan pencinta seni, karya agung Uda dan Dara kini kembali menghiasi pentas dan kali ini dalam versi muzikal yang lebih segar, moden dan sarat emosi.
Istana Budaya mengumumkan bahawa pementasan baharu ini akan berlangsung dari 20 hingga 23 November 2025 di Playhouse Theatre, The Campus, Ampang, menjadikannya antara produksi paling dinantikan.
Teater muzikal ini merupakan adaptasi daripada naskhah Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang, sebuah karya yang sejak dahulu menjadi simbol cinta dua darjat dan perjuangan menentang ketidakadilan sosial.
Kali ini, pementasan diberi suntikan tenaga baharu tanpa menghilangkan keaslian bahasa puitis yang menjadi identiti karya tersebut.
Kolaborasi Penuh Makna Istana Budaya & Mekar Budaya
Pementasan ini direalisasikan menerusi kolaborasi antara Istana Budaya dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya), sebuah NGO seni persembahan yang telah lama memperjuangkan naskhah-naskhah sastera besar tanah air.
Kerjasama ini bukan sekadar produk seni, tetapi usaha bersama memupuk minat generasi muda terhadap karya klasik tempatan.
Mekar Budaya, yang ditubuhkan pada 2002 oleh Allahyarham M. Nasri Ayob dan Dr. Marlenny Deenerwan, sudah lama sinonim dengan pementasan berkualiti dan dokumentari kesenian.
Ads
Jadi, tidak hairan apabila produksi kali ini dipandang sebagai antara adaptasi paling besar bagi Uda dan Dara dalam era moden.
Antara fokus utama pementasan ini adalah untuk mengangkat semula keindahan Bahasa Melayu puitis sejajar dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan.
Selain itu, ia turut bertujuan memperkenalkan kembali karya Usman Awang kepada audiens muda yang mungkin belum sempat menelusuri naskhah asal.
Walaupun diberi wajah kontemporari, produksi ini mengekalkan roh asal Uda dan Dara. Elemen tradisional seperti muzik dan tarian Melayu tetap menjadi teras persembahan, namun digabungkan dengan gaya muzikal moden untuk menambah energi dan jiwa pada pementasan.
Ads
Pengarah Dua Generasi, Pelakon-Pelakon Hebat
Produksi ini diarahkan bersama oleh Nik Muhamad Faiszulikwan (Istana Budaya) dan Dr. Marlenny Deenerwan (Mekar Budaya), dengan Aqil Rozai bertindak sebagai Penolong Pengarah.
Barisan pelakonnya pula bukan calang-calang, antaranya Johan As’ari (Uda), Zera Hariz (Dara), Jay Iswazir, Farah Ahmad, Azwan Hassan, Sara Sulaiman dan Amerul Affendi. Kesemua mereka dipilih bagi menghidupkan kembali watak-watak ikonik dalam naskhah ini.
Kisah cinta tragis Uda dan Dara tidak pernah lapuk. Ia mengisahkan cinta dua darjat yang berdepan halangan, penindasan, dendam dan pengorbanan.
Uda, seorang pemuda kampung yang miskin, jatuh cinta terhadap Dara, gadis bangsawan yang menjadi rebutan. Konflik makin memuncak dengan campur tangan Alang Bakhil, seorang tokoh kaya dan tamak yang tidak pernah berpihak kepada golongan marhaen.
Ads
Klimaks tragisnya mengembalikan mesej besar yang cuba disampaikan Usman Awang bahawa cinta sejati, maruah dan kemanusiaan jauh lebih bernilai daripada harta, kuasa atau kedudukan sosial. Tema ini kekal relevan biarpun era berubah, menjadikan karya ini tidak pernah ketinggalan zaman.
Dari aspek teknikal, pementasan ini tampil dengan visual lebih dramatik hasil penggunaan teknologi pencahayaan moden, sistem bunyi berkualiti tinggi serta rekaan pentas yang kreatif.
Namun begitu, elemen tradisional tetap dikekalkan, khususnya melalui kostum dan set berasaskan budaya Melayu yang memberi sentuhan nostalgia kepada penonton.
Pementasan akan berlangsung selama empat hari dengan lima persembahan, termasuk tiga persembahan malam dan dua slot matinee.
Tiket dijual pada harga antara RM40 hingga RM150 melalui platform CloudJoi, dengan diskaun 15 peratus ditawarkan kepada warga emas, penjawat awam, pelajar dan golongan OKU. Tidak mustahil tiket akan habis lebih awal memandangkan sambutan terhadap karya klasik selalu menggalakkan.
Untuk sebarang pertanyaan atau pembelian tiket, orang ramai boleh melayari portal serta media sosial rasmi Istana Budaya.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Astro sekali lagi tampil dengan idea luar kotak apabila membawa dunia Dr. Pontianak keluar dari skrin dan terus ke ruang awam. Kali ini, mereka berjaya mencuri perhatian ramai dengan penganjuran reruai bertemakan klinik berhantu yang bukan sahaja “menyeramkan”, malah penuh elemen interaktif buat peminat.
Reruai itu direka seolah-olah menyerupai sebuah pusat rawatan misteri, lengkap dengan alatan perubatan yang menambahkan lagi aura seram. Dari jauh pun sudah boleh rasa getarannya, apatah lagi bila mula melangkah masuk ke ruang “klinik” itu sendiri.
Yang paling mencuri perhatian sudah tentu kehadiran watak hantu hospital bernama Edna, yang menjadi ikon rancangan ini. Dengan wajah pucat dan mata tajam merenung sesiapa sahaja yang berani menghampiri, Edna menjadi sebab utama ramai pengunjung terjerit kecil dan dalam masa yang sama, tak lepas peluang bergambar dengannya.
Lebih menarik, pelakon yang sedang meningkat naik namanya, Kimberly Chuah yang memegang watak Dr. Vivy dalam siri Dr. Pontianak 2 turut turun padang bagi memeriahkan suasana klinik bergerak yang diserbu ramai “pesakit”.
Dr. Vivy sempat meluangkan masa berinteraksi dengan pengunjung dan merasai sendiri pengalaman berada di dalam “klinik berhantu” yang diinspirasikan daripada watak serta jalan cerita siri tersebut.
Suasana di reruai itu memang penuh kejutan. Ada pelakon tambahan yang muncul tiba-tiba dari balik tirai dan ada juga pengunjung yang kononnya “sakit” datang ke “klinik”, ternyata menambah lagi elemen realistik. Pendek kata, setiap detik di situ buat jantung berdegup laju.
Apa yang menarik, aktiviti ini bukan sekadar gimik semata-mata. Ia sebenarnya satu cara kreatif Astro untuk mendekatkan penonton dengan siri Dr. Pontianak 2 yang kini menjadi antara rancangan seram paling dinanti.
Dengan pendekatan experiential marketing begini, peminat dapat “merasai” dunia Dr. Pontianak lebih dekat sebelum menonton di kaca TV.Pengalaman ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menyelami sendiri suasana misteri yang menjadi latar siri berkenaan.
Konsep promosi sebegini membuktikan bahawa karya tempatan mampu dipersembahkan dengan cara moden dan menarik tanpa kehilangan elemen identiti seramnya.
Siri Dr. Pontianak 2 menjanjikan jalan cerita yang lebih gelap dan penuh misteri, dengan watak-watak lama kembali digandingkan bersama wajah baru yang berkarisma. Setiap episod membawa elemen kejutan tersendiri yang membuatkan penonton tak sabar menunggu minggu berikutnya.
Jadi, kalau korang belum lagi menonton, jangan lupa saksikan Dr. Pontianak 2, setiap Selasa jam 11 malam hanya di Astro One dan sooka. Tapi hati-hati ya… sebab selepas ini, bila nampak jururawat tengah malam, korang mungkin akan teringat Edna!
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Rumah produksi Kembara Sufi Production Sdn. Bhd kini menyusun perancangan untuk memperbanyakkan lagi program berbentuk travelog pelancongan yang menampilkan keindahan budaya serta panorama alam ciptaan Allah SWT.
Selain memperkenalkan lokasi dan destinasi percutian terbaharu yang jarang dikunjungi pelancong, Pengarah Urusan Kembara Sufi Sdn Bhd, Muhammad Al-Fadzil, menyifatkan dokumentari sebegini mampu menjadi medium informasi sambil menghayati kebesaran ciptaan Allah.
“Selain masih aktif menerbitkan tele-filem, pihak kami juga akan meneruskan projek baharu iaitu dengan menerbitkan rancangan travelog memandangkan kami mempunyai kelebihan menerusi Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd.
“Alang-alang teroka destinasi baharu, mengapa tidak untuk kita jayakan program sedemikian yang secara tak langsung boleh memperkenalkan destinasi ini kepada pelanggan kami.
“Sebab saya percaya, ada di antara kita yang lebih berminat untuk mengetahui destinasi percutian yang jarang-jarang diketahui umum berbanding lokasi popular yang sedia ada,” katanya yang turut mementingkan konsep patuh syariah dalam setiap karya yang dihasilkan.
Kembara Sufi Production Sdn. Bhd sebelum ini pernah menerbitkan beberapa siri travelog dan drama seperti Travelogue Backpakers Balkan, Travelogue Backpakers Mesir, Anak Sena, Terlajak Subuh dan banyak lagi.
Dalam perkembangan lain, pihak produksi itu juga bakal menerbitkan projek drama terbaharu yang sedang dalam peringkat perancangan bagi memperkukuhkan lagi portfolio kreatif mereka.
Dalam pada itu, Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd turut melakar sejarah apabila dianugerahkan Business Excellence in Travel and Tourism Services Award sempena Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) 2025, di Hotel Sheraton Kuala Lumpur, malam tadi.
Pencapaian ini menandakan detik membanggakan untuk terus komited memberikan pengalaman perjalanan bermakna, perkhidmatan berkualiti dan penyelesaian pelancongan yang berfokus kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Muhammad Al-Fadzil menzahirkan penghargaan atas pengiktirafan tersebut dan menganggapnya sebagai satu kejayaan yang besar.
“Anugerah ini lebih daripada sekadar pengiktirafan tetapi mencerminkan kepercayaan para pelancong yang telah bersama kami sejak dahulu.
“Setiap perjalanan kami rangka dan urus berpandukan keyakinan bahawa pengembaraan harus memberi makna, keselamatan dan pengalaman.
“Kami amat bersyukur menerima penghormatan ini dan ia memberi semangat untuk terus berkhidmat dengan keikhlasan dan penuh komitmen,” katanya.
Sebagai sebuah ‘gergasi’ kembara, mereka memberi penekanan terhadap aspek makanan halal, waktu solat dan cara bersuci untuk mereka yang bermusafir, selain sesi perkongsian berkaitan sejarah tempat lawatan dan ilmu fiqh pengembaraan oleh ketua rombongan.
Pendekatan itu telah membantu membina komuniti pelanggan setia dan mengukuhkan kedudukan dalam industri pelancongan Malaysia yang semakin kompetitif.
“Industri pelancongan bukan sekadar melihat tempat baharu tetapi ia tentang hubungan, pembelajaran dan mencipta kenangan.
“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada pengalaman itu dan bekerja keras agar setiap perjalanan menjadi lancar dan bermakna,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, beberapa perancangan khusus telah dirangka bagi memperluaskan perkhidmatan dan meraih kepercayaan pelanggan untuk kekal utuh sebagai jenama yang disegani.
“Fokus kami adalah untuk berkembang seiring dengan perubahan industri, namun tetap berpijak pada prinsip yang membentuk jenama ini.
“Justeru, anugerah yang diterima ini sudah tentu menjadi dorongan kuat untuk kami terus belajar, memperbaiki dan menyediakan perkhidmatan pelancongan yang boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan model terkenal Thailand, Mai Davika Hoorne, sah bergelar isteri kepada aktor dan penulis skrip popular, Ter Chantavit Dhanasevi, selepas tujuh tahun menjalin hubungan cinta.
Majlis perkahwinan pasangan selebriti itu berlangsung dalam suasana penuh eksklusif di Maison Mystique, Khao Yai, Thailand pada Sabtu lalu. Menariknya, majlis tersebut hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat sahaja bagi mengekalkan konsep perkahwinan yang intim dan peribadi.
Mai, 33, yang juga duta fesyen antarabangsa tampil anggun mengenakan gaun pengantin putih rekaan jenama mewah Gucci dengan potongan bustier dan veil panjang yang menyerlahkan gaya elegan serta sofistikated.
Sementara itu, Ter, 42, turut mengenakan sut berona krim daripada jenama sama bagi melengkapkan penampilan mereka sebagai pasangan glamor industri hiburan Thailand.
Melalui hantaran di Instagram, Mai berkongsi gambar rasmi pernikahan mereka dengan kapsyen ringkas bertulis, “Married!”. Hantaran itu pantas mendapat lebih 1.2 juta tanda suka dan ribuan ucapan tahniah daripada peminat serta rakan artis dari seluruh Asia.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.