
Anak kepada pelawak dan usahawan, Shuib, iaitu Thalita akui lega kerana berjaya menahan emosi sewaktu membawakan lagu Terakhir Buat Teman nyanyian asal ibunya, Allahyarham Siti Sarah bersama Hazama di konsert minggu ke-4 Talk To My Manager (TTMM).
Menurut Thalita, tugasan minggu ini sememangnya mencabar, namun dia tetap berusaha mengawal emosi demi menampilkan persembahan terbaik.

“Persembahan saya pada minggu ini agak sentimental. Sebelum ini, ketika membawakan lagu arwah ibu, saya tidak pernah menangis seperti ini.
“Selepas persembahan, saya masih menangis sehinggalah giliran Auddra membuat persembahan.
“Saya sebenarnya cuba nak mengelak untuk menangis. Saya lega air mata ini menitis ketika bahagian akhir lagu. Kalau ketika pertengahan lagu, mungkin nyanyian saya terganggu.
“Namun, untuk persembahan di minggu ini, saya sangat puas,” katanya kepada MH.
Thalita yang berduet bersama Hazama berjaya memukau penonton dengan persembahan penuh emosi hingga menempatkan dirinya di posisi kedua, di belakang Amad, anak kepada Siti Sairah.
Momen Istimewa Buat Shuib Sekeluarga
Mengulas mengenai persembahan anaknya, Shuib menyifatkan minggu ini cukup istimewa kerana bertepatan dengan ulang tahun kelahiran arwah Siti Sarah yang jatuh pada 15 September.

“Sebenarnya, yang lebih teruk menangis adalah abangnya, Uwais lebih-lebih lagi selepas melihat arwah ibunya di skrin. Dia menangis tanpa henti.
“Sebenarnya minggu ini sangat istimewa buat kami. Alhamdulillah, kita dapat lalui dengan baik. Thalita juga dapat berikan persembahan yang terbaik. Tiada apa yang saya nak complain.
“Saya cuma menikmati minggu ini sahaja kerana esok (Isnin) adalah hari lahir Sarah yang ke-41,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, Shuib yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-41 pada 12 September lalu, turut mengakui emosinya bercampur-baur sepanjang mempersiapkan Thalita.

“Minggu ini agak sukar buat saya. Saya sudah tidak menyambut hari lahir sejak empat tahun yang lalu. Saya selalu ingatkan orang-orang terdekat untuk tidak sambut birthday saya.
“Bila masuk sahaja bulan September, saya akan lebih senyap. Anak-anak pun tahu. Segala seperti sudah ditetapkan. Bila masuk minggu ke-4, kita ada tugasan duet.
“Kebetulan juga Isnin adalah birthday Sarah. Lagu yang dipilih juga sangat dekat dengan kami. Saya anggap ini satu perjalanan.
“Walaupun sudah empat tahun, dia sentiasa ada dalam diri kami setiap hari,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Shuib berkahwin dengan Allahyarhamah Siti Sarah pada 26 Februari 2011 dan pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata.
Namun, Siti Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos 2021. Shuib kemudiannya mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Watie pada 23 Jun 2023.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




