
Camelia Natasya bukanlah nama baharu dalam dunia seni. Sudah enam tahun bergelar pelakon, anak kepada dramatis popular era 90-an, Suriati Baharom, serta pengarah Khir Mohd Noor ini tampil berani apabila mengambil keputusan menyertai pertandingan Dewi Remaja 2025.
Berjaya menempatkan diri sebagai salah seorang finalis, namun perjalanan Camelia terhenti pada minggu kelima, episod yang menampilkan cabaran ‘Manisfesto’ di mana setiap peserta perlu menyampaikan pengucapan awam di hadapan ratusan pelajar universiti.
Walaupun tersingkir, gadis berusia 24 tahun ini menerima keputusan itu dengan hati terbuka. Baginya, peluang berada dalam pertandingan tersebut adalah pengalaman besar yang mengajar banyak perkara, termasuk keyakinan serta disiplin diri.

“Apabila masuk Dewi Remaja, bermula episod satu sehingga lima kesemuanya memberi cabaran tetapi episod kelima memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Memang betul Camelia tersingkir, tetapi bercakap di hadapan orang ramai bukanlah perkara yang mudah. Namun, Camelia ambil itu semua sebagai pengalaman dan juga kekuatan,” ujarnya apabila ditanya.
Bagi bintang filem Mimaland itu, kegagalan mara ke pentas akhir bukanlah alasan untuk bersedih. Malah, berjaya berada dalam kelompok top 12 sudah cukup membuatkannya berbangga.
Namun, apa yang benar-benar menyentuh hatinya adalah memikirkan perasaan keluarga yang selama ini telah memberi sokongan hebat kepadanya sejak sesi uji bakat lagi.

“Bila tersingkir saya terfikir, balik ni nak cakap apa kepada mereka. Perkara pertama yang saya lakukan apabila tersingkir adalah memberitahu perkara tersebut kepada ibu dan meminta maaf kepadanya kerana tidak berjaya sampai ke peringkat final,” kongsinya lagi.
Mengakhiri saingan di tempat kesembilan, gadis tinggi lampai ini yakin ini adalah permulaan kepada perjalanannya. Bagi Camelia, tersingkir tidak bermaksud tewas sebaliknya langkah pertama menuju masa depan yang lebih cerah dalam industri hiburan.
Sekadar makluman, pertandingan Dewi Remaja 2025 kini disiarkan di saluran Astro Ria setiap Jumaat, jam 10 malam, dan turut boleh ditonton secara dalam talian menerusi Astro Go dan sooka.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




