
Isteri pertama kepada pempengaruh, Ahmad Aslam iaitu Umisya Mazlan tampil mempertahankan diri selepas mendakwa turut terkena tempias berhubung isu rumah tangga antara suaminya bersama isteri kedua, Marissa Dania Hakim.
Menurut Umisya, dia sebenarnya tidak mahu mencampuri urusan rumah tangga suami bersama isteri keduanya.
Namun begitu, dia terpanggil untuk mempertahankan maruah diri, anak-anak serta keluarganya susulan pelbagai tuduhan yang dilemparkan.

“Saya sama sekali dah serik dan tak nak masuk campur dengan hal peribadi isu rumah tangga suami saya dengan pihak sana.
“Tapi setelah banyak sangat fitnah dan kata-kata hinaan yang saya, keluarga dan anak-anak saya kena, sehinggakan saya yang tidak patut dipersalahkan sama sekali bahkan anak saya yang masih kecil dan tidak berdosa dalam hal ini, terkena tempias juga,” tulisnya.
Kenyataan tersebut dikongsikan oleh Umisya menerusi satu hantaran di aplikasi Threads pada Selasa.

Dedah Usaha Pertahan Rumah Tangga
Dalam masa sama, Umisya turut menjelaskan sebab dia masih mahu mengekalkan perkahwinannya bersama Aslam meskipun berdepan pelbagai ujian.

Sebagai ibu kepada tiga cahaya mata, dia menjelaskan pelbagai usaha telah dilakukan bagi menghalang suaminya daripada meneruskan hasrat untuk berkahwin kali kedua.
Namun, usaha tersebut tidak berjaya kerana mendakwa wujudnya desakan daripada pihak lain.

“Semasa kejadian hubungan mereka sebelum kawin, segala usaha block contact dan tukar nombor telefon telah dilakukan oleh Aslam, tetapi pihak sana cuba sedaya upaya untuk mencari dan memujuk bagi mengekalkan hubungan mereka.
“Bahkan mesej mak mertua saya untuk mengatakan hasrat dihatinya ketika itu.
“Selepas saya mendapati mereka berkahwin pada awalnya, saya membantah sekerasnya dan ingin bercerai sama sekali, tapi dihalang oleh keluarga mertua saya dan diminta untuk berjumpa kaunselor dan penasihat sebelum saya membuat keputusan,” dedahnya lagi.
Umisya turut mengakui, dia akhirnya berlapang dada dan memberi peluang kepada suaminya untuk memperbetulkan keadaan, selain cuba menerima hakikat kehidupan berpoligami demi anak-anak.

“Oleh sebab itu, saya cuba yang terbaik, demi anak-anak saya yang mana saya masih memandang kebaikan yang dibuat oleh suami saya ketika menjadi suami.
“Disebabkan itu, saya memberikan peluang dengan cuba untuk menerima poligami ini.
“Pertama, untuk Aslam rasa bebanan tanggungjawab sebagai ayah yang masih bertanggungjawab kepada anak-anak kecil, dan juga untuk dia sebagai isteri kedua ataupun mak tiri kepada anak-anak saya yang ingin menerima poligami ini.
“Sepanjang poligami, Aslam sebagai suami telah menjalankan tanggungjawabnya dan saya bersama keluarga menjadi saksi macam mana proses memperbaiki diri dalam memperbetulkan rumahtangga kami.
“Selebihnya tentang rumah tangga yang lain, saya tidak masuk campur. Tapi untuk saya dan anak-anak alhamdulillah semuanya digalas dengan baik dan sewajarnya,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Umisya turut mendedahkan dia terpaksa berfikir panjang untuk berpisah, lebih-lebih mengenangkan anak-anak yang masih kecil.
“Saya juga salah seorang anak perempuan yang membesar tanpa figura lelaki sepanjang kehidupan saya 27 tahun hidup.
“Saya juga anak perempuan yang dulunya menjadi saksi kisah mak saya yang hampir sama dengan apa yang jadi di dalam hidup saya, bahkan lebih lagi yang mak saya lalui, dan alhamdulillah saya meletakkan martabat sesama wanita itu sangat tinggi dalam kehidupan saya.
“Perbuatan yang salah saya sama sekali tidak akan sokong atau menegakkan benang yang basah. Kerana tahu batas dan hukum islam. Insya-Allah,” kongsinya.
Untuk rekod, Umisya mendirikan rumah tangga bersama Aslam pada tahun 2020. Pasangan ini pernah berpisah pada September 2023 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Hud, 5, Nuh, 4, dan Haya, setahun.
Sebelum ini, pasangan tersebut menjadi perhatian ramai selepas Aslam disahkan berkahwin dengan Marissa di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, sekali gus menjadikan Umisya sebagai isteri pertama dalam perkahwinan poligami tersebut.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram & Threads Umisya Mazlan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




