
Penyanyi tersohor antarabangsa, Taylor Swift akhirnya sah bergelar tunangan kepada pemain bola sepak Amerika, Travis Kelce selepas dua tahun menjalin hubungan cinta yang sentiasa menjadi perhatian dunia hiburan.
Pertunangan pasangan ini diumumkan secara rasmi pada 26 Ogos lalu melalui satu hantaran Instagram dengan kapsyen mencuri tumpuan berbunyi, “Guru bahasa Inggeris and dan Guru Gim anda bakal berkahwin.”
Kata-kata ringkas itu sekali gus mengesahkan spekulasi peminat bahawa mereka bakal melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan.
Menurut laporan People Magazine yang memetik temubual Ed Kelce bersama News 5 Cleveland, lamaran istimewa itu sebenarnya telah berlangsung kira-kira dua minggu sebelum pengumuman dibuat. Travis melamar Swift secara sederhana tetapi penuh romantis di laman rumahnya di Leawood, Kansas.
Ed Kelce turut berkongsi bahawa anaknya pada awalnya mahu menangguhkan lamaran untuk mencari idea lebih besar dan mewah, namun Taylor dikatakan sedikit resah menunggu. Justeru, Travis memilih momen lebih intim dan peribadi untuk meluahkan isi hati tanpa perlu acara gilang-gemilang.
Cincin pertunangan yang disarungkan ke jari Swift turut menarik perhatian ramai apabila ia direka khas oleh pereka terkenal Kindred Lubeck dari Artifex Fine Jewelry. Batu permata jenis Old Mine brilliant-cut diamond itu melambangkan sentuhan klasik namun tetap eksklusif.
BACA JUGA: Taylor Swift Dilapor Beri Bonus Bernilai RM250 Juta Kepada Pekerja Konsert
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan sejak 2023, dan sejak itu kerap menjadi tumpuan media. Hubungan mereka dianggap sebagai antara “supercouple” era moden kerana gabungan dua figura dari dunia berbeza, seorang ikon muzik global dan seorang bintang sukan NFL.
Dengan pengumuman rasmi ini, tumpuan kini terarah kepada majlis perkahwinan pasangan popular tersebut yang dijangka menjadi antara acara paling berprestij dalam dunia hiburan dan sukan antarabangsa.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan