
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, menasihati orang ramai supaya lebih berpada-pada ketika memberikan kritikan terhadap makanan yang dijual oleh peniaga, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, sebarang ketidakpuasan hati seharusnya ditangani secara berhemah tanpa perlu mencetuskan situasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Pandangan tersebut dikongsikan oleh pelakon filem Janji Diana itu menerusi satu hantaran di aplikasi Threads.

“Cuma nak pesan, kalau anda makan di luar bulan-bulan puasa ini, bawa-bawalah bersabar bila makan tak rasa sedap di tekak anda.
“Tak perlu nak marah-marah, siap panggil manager bagai. Tak sedap di mulut anda, tetap ada yang boleh makan dan menikmati makanan itu,” tulisnya.
Fazley turut menegaskan bahawa kesilapan kecil atau kekurangan daripada pihak peniaga wajar dimaafkan dan tidak diperbesarkan.

“Tak perlu sombong rasa macam korang lah terpaling juri Masterchef.
“Bawa-bawalah bersabar, kalau setakat kurang rasa atau masak kicap rasa macam kari hangit, maafkan jelah diorang.
“Melainkan kalau dalam bubur lambuk tu ada anak hamster tengah kuak lentang,” kongsinya.
Hentikan Tabiat Minta Diskaun & Pertikai Harga
Dalam pada itu, Fazley turut menasihati orang ramai agar tidak terlalu mengharapkan peniaga, terutamanya di bazar Ramadan, untuk memberikan harga yang lebih murah atau tambahan percuma.

Menurutnya, peniaga telah berusaha sebaik mungkin dalam mencari rezeki, justeru pelanggan seharusnya menunjukkan sokongan dengan hati yang ikhlas.
“Buat mereka yang selalu ke bazar lepas tu tanya ‘Ada diskaun tak kak/bang?’, ‘Boleh kurangkan harga tak?’ atau ‘Boleh bagi extra tak?’, mohon berhenti tabiat tak berapa cerdik ni.
“Orang yang berniaga bazar tu pun dah cuba sehabis baik untuk cari rezeki. Janganlah buat peniaga rasa macam mereka tu kedekut, berkira, atau buat diorang rasa serba salah.
“Sokonglah seikhlas hati. Kurangkan bersangka buruk dan komplen. Boleh ke?” kongsinya lagi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




