
Menerima pelbagai reaksi gara-gara penampilannya yang dikatakan tidak lagi berhijab sebelum ini, pelakon Aprena Menrose terbuka untuk menerima setiap teguran daripada netizen.
Menurut Aprena, dia buat masa ini enggan mengulas lanjut mengenai keputusannya tersebut dan menganggap setiap orang punyai cabaran hidup yang tersendiri.
“Saya tiada jawapan dan tak tahu apa yang ingin diperkatakan. Kalau saya cakap begini, takut esok lusa jadi lain pula. Bukan saya seorang sahaja berhadapan dengan ujian.
“Saya rasa setiap orang juga punyai ujian masing-masing. Iman juga berbolak balik. Sama juga seperti saya.
“Bukanlah nak kata saya ingin menjadi diri sendiri tapi mungkin inilah fasa saya. Mungkin ketika ini, hati saya merasakan, buatlah apapun untuk diri sendiri,” katanya kepada MH.
Aprena berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media pelancaran program Ramadan dan Raya RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Katanya lagi, dia juga tidak mahu terlalu memikirkan tanggapan segelintir pihak demi menjaga kesihatan mental.
“Saya tak nak fikir fasal orang. Saya takut nanti jadi gila. Anda tak nak saya gilakan? Saya pun tak nak jadi gila.
“Selagi ayah dan keluarga tahu kisah saya, itu sudah mencukupi. Ayah juga sentiasa menasihati saya. Saya juga sudah menjawab secara jujur tulus dari hati.
“Tak perlulah saya bagitahu apa sebenarnya yang berlaku. Jadi, ayah saya pun faham. Dua cuma nasihatkan saya untuk tidak tinggal solat,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai penampilannya yang tidak berhijab di dalam sebuah program drama vertikal, anak kepada penyanyi, Iwan Syahman ini memaklumkan dia hanya memenuhi tuntutan watak.
“Bila saya ditawarkan watak itu dan mereka maklumkan watak itu tidak bertudung, saya terus bersetuju. Perjalanan penggambaran juga berjalan lancar.
“Penggambaran berlangsung pada Disember lalu dan drama itu akan ditayangkan pada bulan Januari. Saya ingatkan, ketika drama itu ditayangkan nanti, barulah orang akan tahu.
“Rupanya ketika penggambaran lagi mereka sudah kongsikan klip itu. Apapun, saya memang sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa sahaja yang orang cakap.
“Saya tak boleh nak menutup mulut orang. Sejujurnya saya tak terasa pun dengan komen-komen itu. Saya faham dan mungkin mereka sayang saya. Saya sayang diri saya sendiri.
“Biarlah saya sahaja yang tahu apa yang saya lalui,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Aprena akui terkilan bila ada pihak yang mengait isu hijab ini sebagai punca dia tidak dikurniakan zuriat sepanjang sembilan tahun mendirikan rumah tangga.
“Saya kurang berminat dan agak terasa bila ada yang kaitkan isu buka tudung dengan sebab saya tidak dikurniakan cahaya mata. Sedangkan saya rasa ia tiada kena mengena.
“Namun, saya hanya anggap mungkin mereka ini berfikiran cetek dan tidak memahami orang lain. Saya sudah berkahwin selama sembilan tahun dan saya sudah terbiasa dengan hal ini.
“Kini, bila sudah bercerai pun orang cakap tentang anak lagi. Sudah-sudahlah,” akhirinya.
Baru-baru ini, penampilan Aprena dengan imej tanpa hijab nyata mengejutkan ramai pihak dan ia sekali gus mengundang kritikan segelintir peminat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini