
Penyanyi Syamel kembali dengan karya terbaharu berjudul Beribu Tanda Tanya iaitu ebuah lagu yang sarat dengan emosi, persoalan dan luahan jiwa tentang keresahan hati yang tidak terungkai.
Karya ini dicipta sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim yang bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit.
Menurut Syamel, Beribu Tanda Tanya membawa pendengar menyelami perasaan seseorang yang dihantui oleh persoalan yang tidak pernah terjawab.
“Cerita mengenai lagu Beribu Tanda Tanya adalah tentang persoalan yang banyak membelenggu fikiran dan hati seseorang.
“Dia meluahkan rasa melalui nyanyian, penuh dengan harapan, kesedihan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung,” jelas Syamel.
Keseluruhan proses rakaman dijalankan di Voltalab Sound Studio, Manchester, United Kingdom, di bawah bimbingan Edry Abdul Halim.
Lagu ini juga ialah hasil kerjasama antara Universal Music Malaysia dan Alternate Records yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan penerbitannya.
“Lagu ini boleh dikategorikan sebagai lagu yang ‘mahal’ sebab saya perlu ke Manchester untuk berjumpa dengan Edry yang menetap di sana.
“Semua proses, dari rakaman hingga ke pembikinan visualizer dilakukan sepenuhnya di Manchester.
“Pengalaman merakam lagu ini sangat ‘priceless’ sebab kami menggunakan khidmat jurutera bunyi tempatan dan studio yang penuh sejarah.
“Antara artis legenda UK seperti Oasis pernah merakamkan lagu mereka di studio yang sama. Saya rasa sangat dihormati dapat merakam Beribu Tanda Tanya di situ,” ujar Syamel.
Dari segi penyampaian, Syamel berharap pendengar dapat benar-benar menghayati lirik dan melodi lagu ini.
“Lagu ini sangat unik dari segi penceritaan, ia dibina berdasarkan soalan yang diajukan dalam lirik.
“Ramai yang mungkin pernah alami situasi hubungan yang tergantung tanpa jawapan. Jadi saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa dekat dengan kisah ini,” tambahnya.
Syamel pada masa sama, menzahirkan harapan agar karya ini terus relevan dan menjadi lagu yang tidak lapuk ditelan zaman.
“Saya harap lagu ini boleh jadi evergreen, lagu yang orang tak pernah jemu nak dengar. Dan mungkin, melalui lagu ini juga, pendengar belajar bahawa kadang-kadang lebih baik kita bertanya daripada berdiam diri.
“Semoga lagu ini mekar dan terpahat di hati pendengar dan peminat saya sampai bila-bila, insya-Allah,” katanya lagi.
Lagu yang bakal menjadi runut bunyi untuk sebuah drama ini juga kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini