Berita

“Sudah Tiba Masanya Untuk Saya Move On…,” – Suhaimi Sulaiman Sah Tinggalkan RTM, Tiga Tahun Penuh Kenangan Manis

Share

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan bakal menamatkan perkhidmatannya di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) pada penghujung bulan ini, selepas tiga tahun berkhidmat bersama stesen penyiaran tersebut.

Menurut Suhaimi, keputusan itu dibuat kerana beliau merasakan sudah tiba masanya untuk meneruskan kehidupan dan mencuba perkara baharu, selari dengan fasa usia dan perjalanan hidupnya.

“Ia sebahagian daripada progres kehidupan.
Akan sampai satu fasa di mana kita merasakan sudah tiba masanya untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan perkara-perkara lain.

“Umur saya sudah 64 tahun. Sebelum ini, saya sudah bersara kemudian, mereka ajak saya untuk membantu RTM. Saya sudah tiga tahun berada di sini.

“Ada banyak lagi perkara lain yang saya nak buat sama ada dari segi profesional atau peribadi. Sebab itulah keputusan ini dibuat.

“Sepanjang tempoh ini, saya punyai waktu yang sangat indah bersama RTM. Pada saya mereka semua sudah bersedia untuk menguasai dunia. Mereka semua orang-orang hebat,” katanya kepada MH.

Suhaimi berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran kempen Ramadan dan Raya RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Selasa.

Keputusan Dengan Restu Menteri

Dalam masa sama, Suhaimi turut memaklumkan bahawa keputusannya untuk mengundurkan diri telah mendapat persetujuan daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

“Saya punyai klausa pelepasan selama 30 hari. Bukan tiga bulan. Berkenaan usaha memujuk pula, saya rasa mereka pun faham. Saya pun sudah tua.

“Saya rasa RTM ni sebenarnya mempunyai khazanah dan mempunyai staf-staf yang sangat bagus. Mereka sangat handal dalam melakukan kerja-kerja mereka.

“Saya masuk ke RTM sebagai orang yang berpengalaman dalam industri penyiaran. Sangat mudah untuk saya mementukan hala tuju yang selama ini sudah mereka rangka,” ujarnya.

Fokus Perniagaan & Legasi Tiga Tahun

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Suhaimi berkata beliau mahu kembali memberi fokus kepada beberapa perniagaan miliknya, termasuk sebuah kafe di Melaka, selain meneruskan kerja-kerja perundingan media dan bimbingan eksekutif.

Sepanjang tiga tahun menerajui RTM, Suhaimi berjaya menyuntik nafas baharu ke dalam stesen penyiaran itu menerusi ekosistem kerja yang lebih terbuka kepada idea kreatif, sekali gus menjadikan program televisyen tampil lebih segar dan tidak lagi dilihat ‘skema’.

“Saya tidak risau mengenai pengganti kerana ‘akar’ di RTM sangat subur. Kakitangannya sangat baik, profesional dan bekerja kuat. Mereka semua terbaik,” katanya.

Sejak semalam, hangat diperkatakan di media sosial mengenai peletakan jawatan Suhaimi sebagai Ketua Pengarah Penyiaran RTM.

Perkara tersebut nyata mengejutkan ramai pihak, khususnya mereka yang selama ini memuji transformasi besar yang berjaya dibawakan Suhaimi sepanjang tempoh kepimpinannya di RTM.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf