Categories: Berita Hiburan

Suasana Aidilfitri Meriah, Peminat Berbaju Raya Banjiri Zepp KL Demi Siti Nurhaliza… ‘Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya Dengan Saya’ Sukses!

Share

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjaya menyemarakkan suasana Aidilfitri menerusi konsert istimewa Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya dengan Saya yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Konsert yang bermula sekitar jam 8.30 malam itu menghimpunkan kira-kira 3,000 peminat setia yang tidak melepaskan peluang meraikan Syawal bersama figura yang sinonim digelar ‘Penyanyi Nombor Satu Negara’ itu.

Bersempena musim perayaan juga, kebanyakan penonton hadir mengenakan persalinan tradisional, sekali gus mewujudkan suasana seakan-akan sebuah majlis rumah terbuka berskala besar!

Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur turut menyediakan juadah istimewa ala rumah terbuka kepada penonton yang hadir awal.

Persembahan dibuka dengan kemunculan Siti dari pintu utama menerusi lagu Lip Lap Raya bersama penari iringan.

Sejurus membuat persembahan pembukaan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Menamakanmu Cinta itu berkongsi kenangan Aidilfitri ketika zaman kanak-kanaknya.

“Dulu saya beraya di blok kediaman polis. Seronok kumpul duit raya sampai poket penuh dan berat sebab duit syiling.

“Pernah juga tukar baju untuk datang semula ke rumah sama, tapi tak berjaya sebab tuan rumah cam,” katanya berseloroh, sambil membandingkan situasi rayanya dulu dan sekarang.

“Kadang-kadang saya tak cam muka peminat, boleh beri dua atau tiga kali duit raya. Nak ingat semua orang memang mencabar. Akan tetapi itulah kemeriahannya,” ujarnya lagi.

Lagu Penuh Nostalgia & Penampilan Istimewa

Sepanjang konsert berlangsung, lebih 20 lagu dipersembahkan termasuk Sesuci Lebaran, Meriah Suasana Hari Raya

, Anugerah Aidilfitri dan Air Mata Syawal, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu raya malar segar dendangannya.

Lebih istimewa, Siti menyampaikan lagu Mekar Hari Raya buat pertama kali selepas bergelar ibu, selain lagu Hari Kemenangan.

Malah ibu kepada dua cahaya mata itu turut menyampaikan beberapa lagu raya yang mempunyai nilai sentimental seperti

Dendang Perantau, Suara Takbir Dari Jauh Ku Mohon Keampunan dan Kepulangan Yang Dinanti.

Konsert ini turut menampilkan anak didik di bawah Siti Nurhaliza Legacy iaitu Umairah dan Auddra yang bergandingan suara bersama, mempersembahkan lagu-lagu raya nostalgia yang merentas generasi Gen Z dan Gen Alpha.

Pada hujung segmen persembahan, suasana menjadi lebih meriah apabila penonton berdiri dan sama-sama menyanyi bersama lagu Nazam Lebaran dan Beraya Dengan Saya.

Konsert tersebut turut diserikan dengan kemunculan penyanyi jemputan, Aisha Retno yang berduet bersama Siti menerusi lagu

Raya Nak Ke Mana, selain menyampaikan lagu raya yang paling viral tahun ini, Jodoh Lebaran.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH