Sheeda Teringat Kisah Buaya Sarawak

Laluan berliku yang pernah dilaluinya sebelum ini menjadikan penyanyi dangdut popular, Sayyida Beevi M. Shahul Hameed atau lebih dikenali dengan, Sheeda cukup menghargai peluang yang diperlolehinya dalam bidang seni.

Sebelum dikenali sebagai artis rakaman, Sheeda terlebih dahulu menimba pengalaman menyanyi di Kelab Dangdut dalam usahanya untuk mengembangkan bakat nyanyiannya.

Biarpun pada awalnya dia mencuba pelbagai genre muzik, namun akhirnya mengakui cukup serasi dengan muzik dangdut yang disifatkannya sebagai paling dekat dengan dirinya.

“Selepas tamat sekolah, saya banyak menyertai pertandingan nyanyian termasuklah program anjuran RTM Kelantan.

 

“Awalnya saya menyanyi pelbagai genre muzik, namun apabila seorang penerbit di RTM yakinkan saya dengan dangdut, barulah saya sedar potensi saya dalam muzik dangdut lebih besar berbanding yang lainnya,” imbasnya.

Menurut Sheeda lagi, dalam pada mengejar cita-citanya bergelar penyanyi, dia kemudiannya bertemu jodoh dengan gitaris kumpulan Desire yang cukup dikenali di Kelantan ketika itu.

“Sebelum berkahwin saya menyanyi secara senyap-senyap kerana keluarga terutamanya bapa tidak suka saya menceburi bidang seni, namun selepas berkahwin dengan pemuzik langkah saya menjadi semakin mudah kerana kami berkongsi minat yang sama.

 

“Saya banyak belajar tentang muzik dan menimba pengalaman menyanyi dengan band Desire ini di mana ketika itu ia turut disertai oleh penyanyi Nora di mana kami sama-sama berkongsi minat dan cita-cita yang sama untuk bergelar penyanyi rakaman ketika itu,” kata Sheeda.

Begitupun, perkahwinan pertamanya itu berakhir dengan perpisahan dan Sheeda membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan impiannya bergelar anak seni.

IKLAN

“Saya sebenarnya sudah beberapa kali pergi ke KL sebelum itu untuk menghadiri sesi ujibakat yang dianjurkan oleh beberapa pihak seperti Ahmad Nawab, S. Atan dan sebagainya namun nasib tidak menyebelahi saya.

 

“Jadi saya lupakan seketika fokus menjadi artis rakaman sebaliknya cuba menimba pengalaman dengan menyanyi di kelab dangdut untuk menimba pengalaman.

 

“Saya menyanyi di beberapa kelab dangdut di KL hingga ke Kuantan dan kemudiannya kembali semula ke KL pada tahun 1994 di mana pada tahun itulah perjalanan seni saya mula berubah apabila mendapat tawaran daripada komposer Iwan untuk bergelar artis rakaman,” katanya.

Album terjual ratusan ribu unit

Biarpun terpaksa menunggu masa yang lama untuk bergelar artis rakaman, kata Sheeda, dia tidak pernah berputus asa, sebaliknya percaya rezekinya akan datang bila tiba waktunya.

“Sebenarnya ketika menyanyi di Kelab Sejati Dangdut, saya mendapat tiga tawaran serentak untuk bergelar artis rakaman, namun akhirnya saya terima tawaran Iwan kerana hanya dia yang menawarkan saya buat album dangdut.

 

“Alhamdulillah, pada tahun 1995 saya tandatangan kontrak sebagai artis rakaman Warner Music dan setahun kemudian muncul dengan album pertama, Angkat Kaki yang telah mengubah perjalanan seni saya selepas itu.

 

“Tak sangka album pertama itu mendapat perhatian yang begitu baik sehinggakan lagu saya memasuki carta-carta lagu popular di radio seluruh negara, malah jualannya juga mencecah ratusan ribu unit sehingga melayakkan saya mendapatkan anugerah planinum ketika itu,” katanya.

Selepas album Angkat Kaki, Sheeda kemudiannya muncul dengan Ronggeng (2000) dan Inikah Cinta (2005) selain beberapa album kompilasi yang turut meraih jualan album yang tinggi ketika itu.

IKLAN

“Ketika nak menempatkan diri dalam bidang seni, saya melalui jalan yang cukup sukar, namun selepas bergelar artis situasi menjadi lebih mudah apabila perjalanan seni saya diuruskan sepenuhnya oleh syarikat rakaman.

 

“Peluang demi peluang saya perolehi sehinggalah jadual kerja ketika itu sangat padat dengan pelbagai aktiviti nyanyian yang telah diatur sempurna oleh pihak label.

 

“Alhamdulillah saya juga dapat memperbaiki kehidupan menjadi lebih baik menerusi hasil pendapatan dalam bidang nyanyian dan sangat berbaloi dengan segala usaha yang telah dicurahkan ketika itu,” ujar Sheeda.

Berkongsi kenangan yang pernah dilaluinya ketika zamannya meniti populariti sekitar era 1990an itu, kata Sheeda, aktiviti persembahan di luar bandar sering sahaja memberikan pengalaman yang berbeza buatnya.

“Ketika zaman tengah naik dulu,saya berpeluang mengadakan persembahan di merata tempat termasuk kawasan-kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang semestinya memberikan pengalaman di luar jangkaan.

 

“Antara yang paling saya ingat adalah ketika membuat persembahan di sebuah kawasan di Mukah, Sarawak, kami terpaksa turun dari bot kerana air sungai surut menyebabkan bot tdiak dapat bergerak ke destinasi yang dituju.

 

“Mahu tidak mahu saya dan beberapa artis lain ketika itu terpaksa turun dari bot, berjalan kaki ke tebing sungai untuk naik ke darat dengan bantuan orang-orang kampung.

 

“Bayangkanlah bagaimana perasaan kami berada di sungai Sarawak yang sememangnya terkenal dengan kewujudan buaya ketika itu. Namun ia menjadi pengalaman yang cukup berharga untuk dikenang hingga hari ini,” imbas Sheeda.

Menyentuh tentang perkembangan terbarunya, Sheeda yang merupakan ibu kepada empat orang anak dan dua cucu ini bakal tampil dengan album terbarunya, Angkat Tangan tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH album ini akan dilancarkan selepas anak bongsu saya tamat SPM kerana kami akan berduet sebuah lagu dalam album ini.

 

“Ia mungkin menjadi album dangdut terakhir saya kerana saya selepas ini saya berhasrat untuk berhijrah dan melalui fasa hidup baru ke arah yang lebih baik,” akhirinya.