Sharul Kamal, bekas pelajar Akademi Fantasia meluahkan rasa terkilan kerana kontrak bersama Astro Talent telah ditamatkan secara mengejut April lalu. 

Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, memberitahu mengenai perkara ini sejurus majlis ramah mesra bersama media di Hotel Park Royal Kuala Lumpur baru-baru ini, sekali gus memperkenalkan bintang berusia 21 tahun itu sebagai pengacara sebuah program travelog terbaru, Travelog Backpakers Ke Balkan.

Jelas Shahrul, kontrak tersebut sepatutnya tamat pada tahun hadapan, namun disebabkan berlaku rombakan, menyebabkan dia dan beberapa artis lain menjadi mangsa keadaan.

“Terus terang memang ada rasa sedikit kecewa, terkilan dan sedih atas apa yang berlaku. Yelah, kontrak ditamatkan secara tiba-tiba kerana adanya rombakan.

 

“Tapi itulah, saya percaya pada rezeki dan insyaALLAH masih ada ruang buat saya di luar sana,”katanya merendah diri.

Tidak mahu memandang ke belakang, Shahrul yang sebelum ini pernah mempunyai sebuah single berjudul Hanya Kamu turut merakamkan rasa terima kasih buat Astro kerana pernah memberi ruang untuk bertapak dalam industri seni.

“Apa pun, terima kasih juga buat mereka kerana menerusi program Akademi Fantasia lalu, ia banyak buka peluang untuk saya explore dalam nyanyian, khususnya dalam penciptaan lagu.

 

“Saya sendiri pun masih lagi muda. Banyak yang boleh saya cuba dan pelajari,”akui Shahrul yang turut dipanggil menjalani sesi uji bakat untuk program AF Megastar yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik apabila tidak terpilih di kalangan top 24.

Berbalik kepada pemilihannya sebagai pengacara Jelajah Backpakers Di Balkan yang bakal bersiaran menerusi saluran TVi Januari depan, Shahrul akui tidak dapat sembunyikan rasa teruja, apatah lagi ini merupakan percubaan pertamanya dalam bidang pengacaraan.

“Lebih dua minggu lalu, saya ada datang ke sesi uji bakat untuk mencari pengacara bagi rancangan tersebut. Alang-alang waktu itu saya ada kelapangan, jadi saya hadir dan beranikan diri untuk mencuba.

 

“Alhamdulillah, akhirya diterima dan bila dipilih, perkara paling awal yang saya buat ialah Google mengenai negara yang bakal dilawati bagi mengenali serba sedikit adat budaya mereka,” terang Shahrul yang turut menyifatkan, penglibatannya di dalam bidang pengacaraan adalah sebagai satu langkah beraninya dalam mencuba perkara baru dalam seni.

Program yang ditaja Kembara Sufi Travel & Tour Sdn Bhd ini akan menjalani penggambaran di lapan buah negara Balkan pada 4 hingga 30 September depan.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI