Jika sebelum ini pemilik kedai burger dan colek telah dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 gara-gara beroperasi melebihi had masa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuat kuasakan di negeri Kelantan, kini giliran pengusaha kedai runcit pula menerima nasib yang sama.

Memetik laporan Harian Metro, Mansah Marjurin, 47, telah dikompaun pada Ahad lalu selepas premisnya didatangi empat anggota polis.

Jelas Mansah, pada ketika itu, kedainya itu telah pun ditutup dan hanya pintu kecil sahaja yang dibiarkan tidak berkunci kerana ada saudaranya yang datang berkunjung.

Bapa kepada tiga orang anak itu turut mendedahkan dia sememangnya tiada kemampuan untuk membayar kompaun tersebut kerana bayaran rumah juga sudah tertunggak tujuh bulan selain sebuah kereta ditarik oleh pihak bank sejak PKP.

“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.

“Saya sudah menjelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup namun tetap disaman dengan jumlah RM50,000,” katanya seperti yang dipetik.

Dalam pada itu, Mansah turut meluahkan dia berasa sangat terkejut selepas melihat jumlah kompaun yang dikenakan memandangkan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada jualan kedai runcit manakala isteri pula tidak bekerja.

“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut. Mungkin hari ini baru saya pergi membuat rayuan.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya lagi.

Semalam, media ada melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, Ahad lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.

“Peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dipetik.

Sumber: Harian Metro

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI