“Selepas Berpisah, Kita Usaha Jadi Sahabat Baik” – Norman Hakim Beri Nasihat Pada Pasangan Senasib

MH Online memang puji keakraban hubungan antara anak-anak dan bekas isteri yang terjalin baik di antara Norman Hakim dan Abby Abadi.

Walaupun pada dahulunya mereka berdua pernah menggemparkan dunia hiburan dengan kisah perceraian mereka, namun sehingga ke hari ini mereka tiada masalah bersama.

Malah, mereka langsung tidak kekok untuk meluangkan waktu dan bercuti bersama-sama dengan keluarga baru masing-masing.

IKLAN

Melihat betapa positifnya keluarga ini ramai netizen tertanya-tanya bagaimana Norman boleh kekalkan kesejahteraan dan keamanan keluarga tanpa berpecah belah.

Melalui akhbar Kosmo! Norman sempat berkongsi rahsia kepada keluarga yang senasib dengannya.

Menurutnya, dia harus membuang segala ego dan muhasabah diri demi menjaga ketenteraman dan menguatkan lagi ukhuwah keluarga.

“Pengorbanan itu memang luas. Bagaimanapun kalau kita kecilkan skop itu untuk keluarga kami ini, ia lebih kepada membuang ego kita dan muhasabah diri dalam menjaga kedamaian, ketenteraman dan ukhuwah antara satu sama lain demi memastikan institusi keluarga terus terpelihara.

“Bukan sengaja nak menunjuk-nunjuk, cuma itulah pengalaman saya dan sahabat saya merangkap bekas isteri. Selepas berpisah, kita berusaha menjadi sahabat baik demi kepentingan anak-anak. Kita bawa segmen baharu. Kita perlu fleksibel. Apa juga perkara yang ingin kita mulakan, perlu beri perhatian dan jaga institusi keluarga.

 

“Kita juga melalui fasa biasa dan sering dilalui pasangan yang sudah bercerai, tetapi adakah kita mahu menjadikan anak sebagai mangsa? Atas sebab itu, kita perlu buang ego yang ada dalam diri dan belajar untuk pupuk kesedaran bagi meletakkan keutamaan kepada anak-anak,” jelasnya.

Malah, Norman turut berkongsi dalam hal seperti ini pihak satu lagi turut memainkan peranan penting untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

IKLAN

“Bukan saya seorang yang berusaha, tetapi ini merupakan hasil usaha satu keluarga. Persekitaran kita memainkan peranan penting. Apabila masing-masing memainkan peranan, kita akan jadi saling melengkapi apabila sama-sama menyumbang dan sama-sama bertanggungjawab,” katanya lagi.

Kadang-kadang sebagai seorang ibu dan bapa banyak perkara yang harus kita titik beratkan. Paling penting sebagai seorang dewasa, janganlah kita menghancurkan masa depan anak-anak hanya kerana ego yang terbuku dalam hati.

SUMBER : Kosmo!