
Selepas selamat melahirkan cahaya mata ketiga pada 26 Januari lalu, pengacara, Nabil Mahir memaklumkan isterinya yang juga pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat mengalami komplikasi pada bahagian jahitan di perutnya.
Menurut Nabil, pengalaman melahirkan anak ketiga merupakan yang paling berat buat Ayda dan ketika ini isterinya sedang melalui proses berpantang.
“Ketika ini, Ayda sedang berpantang. Untuk anak ketiga ini, inilah proses yang Ayda rasa paling sakit untuk melahirkan. Ketika anak pertama dan kedua, dia memang tak rasa apa sangat.
“Dalam bilik bedah pun, matanya berair tanpa henti. Ketika ini, perutnya pula ‘berlubang’ sebab jahitannya terbuka. Jadi, setiap hari, perlu pantau keadaan kesihatannya.
“Bahagian jahitan itu agak bernanah. Selang sehari, kita akan pergi ke hospital untuk bersihkan luka. Saya mohon kalian titipkan doa yang baik buat Ayda,” katanya kepada MH.
Nabil berkata sedemikian ketika ditemui majlis sidang media pelancaran kempen Ramadan dan Raya RTM, baru-baru ini.
Kongsi Nabil lagi, pada awalnya dia merasakan isterinya itu hanya mengalami sakit biasa ibu selepas bersalin. Namun, selepas seminggu, barulah mereka menyedari keadaan tersebut bertambah serius.
“Kami perasan perkara itu selepas seminggu Ayda bersalin. Ayda tak buat apapun, dia hanya berehat di atas katil. Ketika nak alih kaki, tiba-tiba dia dengar bunyi putus.
“Mulanya, kami ingatkan dia sakit biasa sahaja. Keesokannya kami nampak ada ‘leaking’. Ayda memang tak berhenti menangis,” ujarnya.
Dalam masa sama, bekas pengacara program Hlive ini turut memuji Ayda yang sentiasa kuat dan tidak pernah meninggalkan tanggungjawab meskipun ketika sakit.
“Alhamdulillah, Ayda seorang yang sangat kuat. Bila dia mengadu rasa sakit, itu bermakna dia memang betul-betul sakit. Ayda ini sejenis orang yang kalau sakit teruk pun, dia tidak akan makan ubat.
“Selagi boleh tahan, dia akan tahan. Bila dia minta ubat, kita tahu yang dia memang betul tak tahan. Dia masih okay dan boleh tersenyum. Tetap juga menjaga anak-anak walaupun sedang sakit,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Nabil akui dia tidak mempunyai masalah untuk berjaga malam demi menjaga anak kecil kerana sudah terbiasa dengan jadual kerja yang tidak menentu sebelum ini.
“Melalui pengalaman anak pertama dan kedua, beza kelahiran mereka semua adalah dua tahun sahaja. Jadi, rentak itu masih ada kerana jarak usia mereka tidak begitu jauh.
“Bila nak menukar lampin atau berjaga malam, saya jadi sudah terbiasa. Lagipun, bekerja dalam bidang produksi ini, tidur kita pun memang tak menentu.
“Secara tidak langsung, ia turut membantu saya untuk menjaga anak yang masih kecil. Badan memang sudah bersedia,” akhirinya.
Sekadar informasi, Nabil dan Ayda mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021 dan kini mereka sudah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ana Nayla dan Aali Mateen.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini