
Dikatakan mempunyai ciri-ciri lelaki idaman, pelakon meningkat naik, Evertts Gomes tampil memberikan reaksinya berhubung hantaran tular melibatkan pempengaruh sensasi, Sarah Yasmine.
Menurut Evertts, dia merasakan kenyataan yang dimaksudkan oleh Sarah terarah kepada hal berkaitan kerja dan bukannya perkara lain.

“Saya ada perasan hantaran tersebut kerana ramai yang tag saya di media sosial. Apa yang boleh saya katakan, mungkin dia sedang mencari peluang untuk bekerjasama dengan saya.
“Andai kata ada rezeki untuk berjumpa, kita akan berjumpa juga nanti. Apa sahaja perkara yang berlaku dalam kehidupannya yang terdahulu, saya enggan ulas.
“Mungkin ada yang nak sokong dan tidak. Malah, ada juga yang kata biar dia kekal jadi influencer sahaja.
“Pada saya, kalau Tuhan sudah buka rezeki dia untuk berlakon, siapalah kita untuk menghalang,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Thariq Ridzuan: His Treasure itu berkata sedemikian ketika ditemui di acara Viu Royal Night, baru-baru ini.
Sementara itu, Evertts memaklumkan dia tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Sarah meskipun namanya pernah terpalit kontroversi bersama pelakon dan penyanyi Singapura, Aliff Aziz.

“Saya terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Dalam soal profesionalisme, saya sentiasa boleh berikan seratus peratus. Apa sahaja yang berlaku di luar, kita tolak tepi.
“Bila kita masuk sahaja ke dalam set, kita bukan lagi diri kita yang sebenar. Kita bawa watak yang telah diberikan. Itu adalah undang-undang dan perkara asas dalam lakonan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, bintang kelahiran Hero Remaja 2023 ini memaklumkan fokusnya kini hanyalah untuk mengukuhkan namanya di dalam industri seni dan tiada masa untuk bercinta.

“Jika Sarah maksudkan perkara lain, seperti yang pernah saya katakan, ketika ini, belum masanya untuk saya mencari pasangan. Sejujurnya, jika ada orang kata kita punyai ciri-ciri yang mereka suka, saya berbesar hati.
“Sebagai lelaki, kita akan gembira bila tahu ada perempuan di luar sana yang sukakan kita. Namun, fokus saya kini hanyalah berkaitan kerja. Saya tiada masa untuk perkara-perkara lain.
“Masa saya hanyalah untuk kerja dan ibu saya sahaja,” katanya.
Jelas Evertts lagi, dia kini lebih selesa hidup sendirian dan menghabiskan masa bersama ibunya sahaja.
“Saya kini lebih selesa hidup bujang. Lagipun, saya sudah penat dengan komitmen perhubungan. Pada saya, kalau saya betul-betul nak cipta nama dalam industri seni saat ini, saya perlu buat bersendirian.
“Saya seorang yang sangat berdedikasi dan bersemangat. Jika saya sudah punyai pasangan, saya memang akan berikan sepenuh perhatian kepada pasangan.
“Namun, ketika ini, saya tak mahu fokus saya terganggu,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




