Categories: Hiburan

“Sebagai Figura Awam, Kita Memang Selalu Jadi Perhatian,” – Joey Komen Pemakaian Elite Waktu Konsert, Jadi Saksi Kerja Keras Isteri

Share

Pelakon dan pengacara, Joey Daud berpandangan pakaian yang digayakan oleh kumpulan Elite di konsert Elite Live 25, baru-baru ini tidaklah terlalu mencolok mata atau keterlaluan seperti didakwa segelintir pihak.

Bagaimanapun, Joey yang juga suami kepada salah seorang anggota Elite, Watie Sadali, menyifatkan setiap orang berhak untuk memberikan pandangan mereka sendiri.

“Ini adalah sebuah persembahan hiburan. Mungkin itu adalah kehendak pihak penaja atau kumpulan itu sendiri untuk berpakaian sedemikian.

“Pada saya, pakaian tersebut tidak terlalu mencolok mata dan masih bertutup. Bagaimanapun, perkara seperti ini kita tak boleh nak halang.

“Setiap orang ada cara pandang, rasa dan luahan mereka sendiri. Sekurang-kurangnya kita tahu tahap seseorang itu di mana. Saya tiada masalah dan okay sahaja,” katanya kepada MH.

Pengacara program Kilauan Emas 2025 berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Muzikal Lawak Superstar 2025, baru-baru ini.

Katanya lagi, hal-hal seperti ini hanya akan menyekat perkembangan industri seni tempatan untuk ke tahap yang lebih tinggi.

Namun, Joey akui setiap kelemahan pasti ada ruang untuk diperbaiki pada masa hadapan.

“Pada zaman ini, ramai yang ingin menjadi juri yang tidak bertauliah. Mungkin mereka tiada kerja dan terpaksa sengaja cari hal. Kalau perkara ini masih berterusan, sayanglah industri kita.

“Macam mana kita nak berkembang. Jadi, pada tahun 2026 nanti, saya harap tiada lagi pihak yang kerjanya hanya ingin mencari salah. Namun, perkara ini tak boleh nak dihalang.

“Pada masa sama, saya rasa hal ini bagus juga buat anak seni agar kita lebih bersedia dan berjaga-jaga pada masa hadapan. Sebagai figura awam kita memang selalu menjadi perhatian.

“Andai kata sesuatu perkara itu terlalu berlebihan, kita boleh ubah dan jadikan ia tauladan,” kongsinya lagi.

Watie Menangis Gembira

Ditanya mengenai reaksi isterinya ketika melihat respon netizen selepas berakhir konsert, Joey akui perasaan Watie bercampur baur.

“Watie banyak menangis gembira kerana Elite dapat bergabung kembali. Sudah lama dia memasang impian untuk mengadakan sebuah konsert besar, alhamdulillah dimakbulkan.

“Namun, saya kenal isteri saya. Sudah tentu dia agak sedih juga. Kalau nak tahu, jadual kerjanya sebelum konsert berlangsung sangat padat.

“Habis sahaja penggambaran, dia akan terus sertai latihan. Saya bukan nak mengangkat isteri sendiri tapi ia benar-benar berlaku di hadapan mata saya.

“Dari cara dia tidur pun saya tahu dia terlalu penat. Namun, dia kata ini adalah peluang yang mungkin tidak akan datang lagi. Dia juga nak buktikan Elite ini masih relevan dan menghiburkan peminat,” akhirinya.

Terdahulu, ada yang mengecam beberapa anggota Elite berikutan pemilihan pemakaian mereka sewaktu konsert yang dikatakan agak ketat dan tidak sesuai dengan status masing-masing.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf