Penyanyi rap terkenal, Sean Kingston, dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan selepas didapati bersalah dalam kes penipuan barangan mewah bernilai lebih AS$1 juta (RM4.5 juta) yang dilakukan bersama ibunya.
Sean atau nama sebenarnya, Kisean Paul Anderson, 34, sebelum ini popular dengan lagu hit Beautiful Girls pada tahun 2007. Beliau bersama ibunya, Janice Turner didakwan menggunakan helah slip pindahan wang palsu untuk mendapatkan barangan mewah daripada peniaga di sekitar Florida.
Antara barangan yang diperoleh termasuk SUV Cadillac kalis peluru, televisyen LED bersaiz gergasi, katil bernilai tinggi dan jam tangan berjenama. Sebagai tukaran, Sean didakwa menjanjikan publisiti serta promosi di laman media sosialnya, namun janji itu tidak pernah ditunaikan.
Kes berkenaan mendapat perhatian sejak Mei 2024 apabila pasukan SWAT menyerbu rumah sewanya di Florida. Ibu Sean ditahan dalam serbuan tersebut, manakala beliau puka diberkas sebaik sahaja selesai membuat persembahan di pangkalan tentera Fort Irwin, California.
Ads
Pada Julai lalu, ibunya telah dihukum penjara selama lima tahun. Dalam kes terbaharu, Sean bukan sahaja dikenakan hukuman penjara tiga tahun enam bulan, malah turut diperintah menjalani tiga tahun pengawasan selepas dibebaskan (supervised release).
Ads
Dalam perbicaraan, pihak pendakwa membentangkan mesej teks penyanyi itu kepada ibunya yang berbunyi, “I told you to make [a] fake receipt”. Bukti itu menjadi hujah kukuh bahawa Kingston sendiri merancang penipuan berkenaan.
Peguam bela cuba merayu agar Sean hanya dikenakan tahanan rumah dengan alasan kesalahan itu tidak membabitkan unsur keganasan, selain beliau merupakan penyara keluarga. Namun, rayuan tersebut ditolak oleh hakim yang menegaskan kes itu cukup serius dan memberi kesan besar kepada mangsa.
Ads
Meskipun menyatakan penyesalan dan berjanji untuk menggantikan kerugian kepada pihak yang ditipu, keputusan mahkamah tidak memihak kepada Sean. Beliau dibawa terus ke penjara sebaik hukuman dijatuhkan, menutup satu lagi episod hitam dalam karier seninya.
Hukuman ini sekali gus menjadikan masa depannya di pentas hiburan kabur. Dari bintang yang pernah menjadi sebutan seluruh dunia, kini namanya lebih dikenali kerana skandal penipuan yang memalukan.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Dunia perfileman kehilangan seorang lagi bintang besar apabila pelakon British, Terence Stamp, yang terkenal dengan watak antagonis General Zod dalam filem Superman (1978) dan Superman II (1980), disahkan meninggal dunia pada Ahad lalu.
Stamp, 87, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di London dengan ditemani ahli keluarga terdekat. Punca kematian bagaimanapun tidak didedahkan, namun keluarganya mengesahkan berita duka itu menerusi satu kenyataan rasmi.
Sepanjang lebih enam dekad berkecimpung dalam industri seni, Stamp dikenali sebagai seorang pelakon versatil yang mampu menjayakan pelbagai watak, daripada filem epik sejarah sehingga naskhah moden.
Selain Superman, beliau turut menyerlah menerusi lakonannya dalam Priscilla, Queen of the Desert (1994) yang memahat namanya di layar perfileman antarabangsa.
Pemergian Stamp sekali gus mengingatkan peminat kepada beberapa pelakon terdahulu francais Superman yang turut meninggal dunia dalam keadaan tragis, termasuk Christopher Reeve, bintang utama Superman yang lumpuh akibat kemalangan menunggang kuda sebelum meninggal dunia pada 2004.
Dilahirkan pada 22 Julai 1938 di London, Stamp mula mencipta nama pada era 1960-an apabila membintangi filem Billy Budd (1962) yang melayakkannya menerima pencalonan Oscar. Kejayaannya itu membuka jalan untuk Stamp menjadi salah seorang pelakon British paling berpengaruh pada era tersebut.
Rakan-rakan artis dan penggiat industri seni turut menzahirkan rasa sedih atas kehilangan tersebut. Ramai menyifatkan Stamp sebagai pelakon berdedikasi tinggi serta meninggalkan warisan seni yang tidak ternilai kepada generasi akan datang.
Beliau meninggalkan legasi besar dalam dunia perfileman dan lakonannya akan terus diingati sebagai sebahagian daripada sejarah sinema dunia.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Pelakon dan penyanyi popular, Mandy Moore meluahkan rasa kecewa dan marah selepas kenderaan yang dinaiki bersama keluarganya terlibat dalam satu insiden langgar lari, baru-baru ini.
Dalam perkongsian yang dimuat naik menerusi Instagram Story, bintang drama bersiri This Is Us itu mendedahkan bahawa sebuah kenderaan lain telah melanggar bahagian belakang keretanya sebelum pemandunya bertindak melarikan diri tanpa mengambil sebarang tanggungjawab.
“Kepada wanita yang melanggar kereta kami dan terus melarikan diri sebaik sahaja kami berhenti. Saya harap karma akan cari awak. Nasib baik kami semua selamat tetapi manusia jenis apakah bertindak sedemikian?” tulisnya
Walaupun tidak memperincikan siapa yang berada bersama dalam kereta tersebut, Mandy mempunyai tiga orang anak kecil iaitu August “Gus” (4 tahun), Oscar “Ozzie” (2 tahun) dan Louise “Lou” yang baru berusia 10 bulan. Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa semua ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat.
Insiden tersebut nyata mengundang kemarahan peminat yang menyifatkan tindakan pelaku sebagai tidak berperikemanusiaan, apatah lagi membabitkan keselamatan kanak-kanak.
Pihak berkuasa tempatan difahamkan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian langgar lari itu, namun identiti pelaku masih belum dikenal pasti setakat ini.
Imbas kembali, Mandy Moore sebelum ini turut menjadi tumpuan media apabila lantang bersuara terhadap komen-komen negatif netizen susulan usaha mengutip dana bagi membantu keluarga mentuanya yang kehilangan kediaman dalam kebakaran awal tahun ini.
Malah, beliau turut mengecam tindakan seorang penghantar barang yang meletakkan bungkusan di rumah yang sudah hangus terbakar.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Personaliti media sosial dan pelakon Indonesia, Erika Carlina selamat melahirkan cahaya mata sulungnya pada Jumaat, lebih awal daripada tarikh jangkaan yang ditetapkan doktor. Terdahulu, Erika dijangka melahirkan pada 8 Ogos.
Dalam hantaran tersebut yang menampilkan gambar anaknya menggenggam jarinya, Erica menulis, “Andrew Raxy Neil. 01 August 2025.” Bersama kapsyen itu disertakan emotikon hati berwarna putih.
Lebih menarik perhatian ramai, kekasihnya iaitu DJ Bravy yang selama ini dikaitkan dengan Erika, dilihat setia menemani selebriti berkenaan sepanjang proses bersalin berlangsung.
Bravy dilaporkan mengambil keputusan untuk menangguhkan jadual persembahannya demi memberi sokongan penuh kepada Erika di hospital biarpun beliau bukanlah bapa kandung kepada bayi berkenaan.
Menerusi foto yang kini tular di laman YouTube dan TikTok, Bravy dilihat menggendong bayi Andrew sejurus selepas kelahiran dan tidak dapat menahan rasa sebak tatkala menyentuh bayi tersebut buat kali pertama.
Erika sebelum ini mengejutkan ramai apabila mengumumkan kehamilan luar nikahnya dalam satu temu bual, dan mengesahkan bahawa DJ Panda atau nama sebenarnya Giovanni Surya Saputra merupakan bapa kandung kepada anak yang dikandung.
Mereka sebelum ini pernah berbincang untuk bertanggungjawab terhadap kehamilan tersebut, namun membatalkannya atas sebab tertentu.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!
Penyanyi Mell Sakura mengakui hatinya tersentak apabila kemunculan semulanya di Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) disifatkan oleh segelintir pihak sebagai sesuatu yang menjijikkan.