
Dipilih sebagai duta bagi sebuah jenama baju raya terkenal, pempengaruh Mdno berharap orang ramai tidak keliru dengan nasihat-nasihat yang sering dikongsikan di media sosial, khususnya berkaitan pengurusan kewangan.
Menurut Mdno atau nama sebenarnya Muhammad Noor Zakaria, dia tidak pernah menghalang sesiapa untuk berbelanja. Namun, katanya, setiap individu perlu tahu cara menguruskan kewangan dengan bijak dan berhemah.
“Mungkin ada yang salah faham dengan nasihat-nasihat saya. Saya tak suruh kita kena hidup miskin atau zuhud dengan baju koyak rabak. Saya cuma nasihat agar kita berbelanja dengan baik dan berkhemah.
“Saya selalu pesan, janganlah kita berbelanja kopi RM15 sehari tapi gaji RM2,500. Bukan ke tak logik? Bagi saya, jika saya nak berbelanja dengan lebih banyak, saya kena bekerja lebih keras.
“Selama ini, saya selalu bagi nasihat kepada orang lelaki. Mereka memang perlu dan diciptakan untuk bekerja keras. Ada banyak perkara yang perlu kita uruskan terutamanya untuk menyara keluarga.
“Tak mengapalah jika kita perlu bersusah-susah dahulu. Janji kita senang kemudian,” katanya kepada MH.
Mdno berkata demikian ketika ditemui di acara pertunjukkan fesyen, Warna Lebaran Ariani, baru-baru ini.
Dalam acara sama, Mdno turut diperkenalkan sebagai salah seorang duta dan wajah bagi jenama tersebut untuk tahun 2026.
Dalam pada itu, Mdno turut memaklumkan dia telah berhenti daripada pekerjaannya sebagai pembantu makmal bagi memberi sepenuh tumpuan kepada pengajian di peringkat sarjana serta menjaga ibunya yang diserang strok.
“Saya sudah berhenti bekerja di makmal pada April 2025 kerana saya menyambung pengajian di peringkat master. Saya sudah cuba bekerja, belajar dan menjaga ibu yang strok dalam masa empat bulan pertama.
“Tapi saya rasa tak boleh. Saya pernah mohon berhenti kerja daripada bos saya tapi katanya dia boleh bagi kelonggaran kepada saya untuk belajar dan menjaga ibu.
“Selepas empat bulan saya cuba, saya rasa tak dapat nak teruskan. Saya dapat gaji yang penuh tapi saya terpaksa membahagikan komitmen. Saya percaya bila bekerja, kita perlukan keberkatan.
“Saya tak nak rasa menang itu ada pada saya sahaja tapi bos tak dapat sepenuhnya apa yang dibayar. Jadi, saya putuskan untuk berhenti dan bos terpaksa melepaskan saya,” kongsinya lagi.
Menurut Mdno, keputusan tersebut bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya hasil perancangan rapi dan disiplin kewangan yang diamalkannya sejak dahulu.
“Orang tanya bagaimana saya boleh berhenti bekerja? Jawapannya adalah saya ada tabiat menyimpan yang kukuh sejak dahulu lagi. Bukan sekarang baru buat.
“Sesetengah orang bila dapat bonus, mereka pergi melancong. Saya memang tak pergi mana-mana. Ketika baru berkahwin, walaupun pendapatan kami suami isteri memcecah RM7,000, saya tak duduk di rumah kondominium.
“Saya duduk di rumah RM400. Saya orang yang sangat jimat dan menyimpan untuk masa hadapan. Dalam tempoh itu, saya boleh beli rumah, ada simpanan dan bayar hutang.
“Saya mungkin kehilangan banyak memori kedia usia 20-an tapi hasilnya saya dapat rasa sekarang,” ujarnya.
Walaupun semakin dikenali dan mempunyai pengikut yang ramai, Mdno menegaskan bahawa dia tidak mempunyai hasrat untuk terlibat secara serius dalam bidang seni.
“Memang ada tawaran berlakon tapi saya rasa saya tak mampu. Saya tak boleh bekerja untuk jangka masa yang lama. Isteri saya suri rumah dan saya ada tiga orang anak di rumah.
“Saya tak boleh bekerja yang memerlukan waktu sehingga lewat malam. Cameo sikit-sikit tu saya buatlah. Saya minat berlakon tapi saya tak nak ceburi bidang itu. Kalau saya ceburi tapi tak boleh bagi komitmen, tak best juga,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Kredit Foto: Instagram Mdno