Berita

“Saya Tak Kata Genre Filem Sebegitu Tak Baik, Nmun Untuk Saya Terlibat Mungkin Tidak,” – Remy Ishak

Share

Pelakon, Datuk Remy Ishak mengakui pernah menerima beberapa tawaran untuk membintangi filem bergenre aksi dan gangster ketika ia sedang menjadi trend dalam industri tempatan.

Namun, Remy berpendapat, dia memilih untuk tidak terlibat dalam projek sedemikian kerana mahu memastikan setiap karya lakonannya memberi impak positif kepada masyarakat.

“Sebelum menerima tawaran berlakon filem Mikael: Pemburu Dua Alam, ketika itu, filem aksi dan gangster sedang jadi trend. Saya juga mendapat tawaran untuk berlakon di dalam filem sebegitu.

“Namun, secara peribadi, kalau saya berlakon filem seperti ini, apa sumbangan saya kepada masyarakat? Bagaimana saya mahu mendidik mereka?

“Bila saya berlakon menjadi ‘stylo’, nanti ia akan menjadi ikutan budak-budak. Semata-mata nak jadi stylo seperti watak saya.

“Kanak-kanak sekarang mudah terpengaruh. Seeloknya, saya tidak mahu terlibat dalam projek-projek seperti itu,” katanya kepada MH.

Remy berkata sedemikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Mikael: Pemburu Dua Alam, baru-baru ini.

Masing-Masing Ada Pandangan Sendiri

Bagaimanapun, bapa kepada seorang cahaya mata ini menegaskan dia tidak pernah menganggap genre filem tersebut sebagai sesuatu yang tidak baik, sebaliknya mengakui setiap individu mempunyai pandangan tersendiri.

“Pada saya, kehendak penonton ada banyak. Macam-macam yang mereka mahukan. Segalanya terpulang kepada hak individu. Saya tak kata genre filem sebegitu tidak baik, namun, untuk saya terlibat, mungkin tidak.

“Lain orang, lain pendapatnya. Tapi saya tak nampak diri saya berada di tempat itu,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, peluang membintangi filem Mikael: Pemburu Dua Alam menarik minatnya kerana karya itu menggabungkan elemen aksi, komedi dan kemelayuan, selain mengangkat kisah berkaitan makhluk halus seperti syaitan dan jin.

“Kalau boleh, saya nak menjadi pelakon yang boleh memberikan impak yang baik-baik sahaja.

“Jadi, bila saya dapat berlakon filem aksi yang punyai elemen komedi, kemelayuan dan menghapuskan syaitan dan jin, saya rasa ini barang baru. Sebab itu saya teruja,” katanya lagi.

Ditanya mengenai penglibatannya di dalam projek drama, Remy memaklumkan dirinya tidak berminat lagi untuk memainkan watak-watak romantis yang cliche.

“Itu semua bergantung kepada jalan cerita. Tak kanlah saya yang sudah rambut beruban sikit ini nak berlakon drama fasal kekasih dan teman wanita.

“Saya sudah tidak percaya dengan dialog-dialog sebegitu. Bila menjadi pelakon, kita kena percaya dengan dialog.

“Kalau saya sudah sebut dialog yang sama seratus kali, saya jadi tak percaya. Jika ada drama kekeluargaan yang saya rasa dekat dengan usia saya saat ini, saya akan setuju.

“Kalau nak saya jadi budak-budak kolej atau baru nak bercinta, saya tak nampak diri saya di situ. Kita ada ramai lagi pelakon-pelakon muda yang lebih sesuai,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Kredit Foto: Instagram Remy Ishak

Published by
Aizam Manaf