
Memasuki usia 30, penyanyi dan personaliti media sosial, Muhammad Affizy Mohd Khairy atau lebih dikenali sebagai AGY, memilih untuk berdamai dengan masa lalu setelah bertahun menyimpan tekanan emosinya sendiri.
Pernah menjadi perhatian netizen sejak awal kemunculannya, AGY mengakui dia juga tidak terlepas daripada kecaman dan sindiran yang kadang-kala mematahkan semangat.
“Saya pernah terfikir, kenapa ada orang tak suka saya, walaupun saya tak kacau sesiapa.
“Sampai satu tahap, saya rasa mungkin saya tak cukup bagus untuk teruskan dalam industri ini,” katanya, meluahkan isi hati yang selama ini tersimpan.
Pada awal karier, dia mudah terasa dengan komen negatif. Namun, masa mengajarnya menjadi lebih kuat dan menerima bahawa penerimaan orang lain bukan sesuatu yang boleh dipaksa.
AGY juga menyatakan kekuatan sebenarnya datang daripada sokongan keluarga, terutama ibu bapa, ahli keluarga serta Pak Long yang tidak pernah meninggalkannya.
“Saya kesian pada keluarga. Mereka tak pernah salah, tapi nama mereka terpalit sama bila saya dikritik.
“Tapi mereka tetap ada di belakang saya, tanpa syarat,” ujarnya lagi.

Proses Berdamai Dengan Diri
Baru-baru ini, AGY mula membuka ruang untuk diri-sendiri, menerusi sesi bersama Dr. Hisham Dzakiria (Dr. Healing), seorang pakar pembangunan insan dan jurulatih penyembuhan terkenal.
Menurut AGY, selama ini, dia banyak simpan semuanya sendiri dan jarang menangis di hadapan individu lain.
Antara pendekatan digunakan pada sesi itu ialah teknik ‘melepaskan botol’, di mana AGY memindahkan beban emosi ke dalam sebotol air secara simbolik.
Proses itu meninggalkan kesan fizikal dan spiritual yang kuat.
“Saya selalu tunjuk sisi kuat di luar, sebab tak nak orang tahu saya pernah luka. Tapi sampai bila? Saya pun manusia,” katanya yang kini lebih terbuka tentang emosi dan proses penyembuhan yang dilaluinya.
Dengan kekuatan baru, AGY kembali fokus kepada seni. Lagu terbarunya, Jadi Aku, dihasilkan sebagai refleksi dirinya yang kini lebih mengenali serta menerima siapa dia yang sebenar.
“Jadi Aku bukan sekadar lagu, ia cermin perasaan saya yang sebenar. Lirik dia tentang keinginan untuk difahami, tentang luka, tentang kekuatan yang lahir dari keikhlasan.
Saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa sesuatu. Saya tak minta semua orang suka saya. Tapi kalau ada yang sudi terus sokong, saya hargai sangat.
“Saya akan terus belajar jadi lebih baik, bukan saja dalam kerjaya, tapi juga sebagai individu,”akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




