Categories: Hiburan

“Saya Rendahkan Pandangan, Tarik ‘Handbrake’,” – Amelina Kekok Nak Bercinta Semula, Elak Layan Suami Orang

Share

Selepas hampir sedekad bergelar ibu tunggal, penyanyi dangdut, Amelina memaklumkan hatinya masih terbuka untuk menjalin hubungan cinta dan melangkah ke fasa bahagia.

Namun, Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin, mengakui dia kini kurang percaya diri dan agak kekok untuk memulakan perhubungan selepas sekian lama menumpukan sepenuh perhatian kepada anak-anak.

“Saya kembali aktif dalam industri ini selepas 10 tahun berehat. Sepanjang tempoh tersebut, saya memang fokus pada anak-anak.

“Bila mereka sudah besar, saya jadi tak tahu dan salah tingkah untuk memulakan perhubungan.

“Saya rasa rendah diri. Ada ke orang yang nak kenal? Nak mengurat pun tak reti. Saya bukan trauma. Perasaan itu sudah lama hilang.

“Anak-anak pun sudah bagi ‘green light’. Namun, bila sudah penat bekerja, kita jadi malas nak fikir. Saya mencari lelaki yang sayang saya. Hati saya tak pernah tertutup,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Memori Daun Pisang itu ditemui pada majlis sidang media Konsert Inul Daratista Live in Malaysia: Millenial Dangdut Nusantara di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Amelina turut mendedahkan, kebanyakan lelaki yang cuba mendekatinya adalah suami orang, sekali gus membuatkan dia lebih berhati-hati agar tidak mencetuskan sebarang masalah di kemudian hari.

“Mungkin saya terlalu selesa dengan kehidupan sekarang. Satu hal lagi, kebanyakkan yang nak mengenali saya, rata-rata suami orang.

“Jadi, saya pun berjaga-jaga dan memilih untuk merendahkan pandangan.

“Saya tak berani nak bercakap lebih. Jika ada sesuatu perkara terjadi, ia tetap akan terjadi. Sebab itu saya memilih untuk kawal diri.

“Ada juga dari kalangan bujang dan duda tapi mungkin cara mereka nak mendekati itu tak berapa sampai. Bila kita terlalu ‘independent’, orang pun takut nak dekat juga,” ujarnya.

Kata Amelina lagi, jadual kerja yang padat juga menjadi faktor dia sukar mencari pasangan hidup.

“Ada kala saya menunggu. Kemudian, si dia pula menunggu. Mungkin sibuk bekerja juga menjadi faktor susah cari pasangan.

“Mungkin mereka ingat saya ini malas nak melayan. Jadi mereka pun tarik ‘hand break’,” jelasnya.

Teruja Kongsi Pentas Dengan Inul

Dalam pada itu, Amelina turut meluahkan rasa teruja apabila bakal berkongsi pentas bersama Ratu Dangdut Indonesia, Inul Daratista, menerusi konsert yang dijadual berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember depan.

“Inul ialah seorang penyanyi yang sangat terkenal, tidak hanya di Indonesia tetapi juga Malaysia. Apabila diberi peluang untuk berada satu pentas dengan Inul, memang tidak boleh dilepaskan.

“Ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan dangdut Malaysia di mata orang luar. Kerana dangdut Indonesia dan Malaysia ada sedikit perbezaan,” katanya.

Selain Amelina dan Inul, konsert ini turut menampilkan penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima.

Imbas kembali, Amelina pernah mendirikan rumah tangga dengan Reduan Mahamood pada 26 April 1999 sebelum bercerai pada 29 Jun 2016.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nur’ Athirah, Putera Al’ Affiq, Putera Al’ Asyraff, Puteri Nur’ Asyurah, Putera Al’ Arffa, dan Putera Al’ Amzar.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf