Categories: Berita Hiburan

“Saya Rasa Diri Kuat, Rajin Bersenam… Push Up 200 Kali Setiap Hari,” – Sherry Alhadad Jatuh, Mark Adam Sebenarnya Boleh Angkat Tapi…

Share

Penyanyi dan guru vokal, Mark Adam berkongsi reaksinya mengenai insiden membabitkan pengacara Gegar Vaganza 12 (GV12), Sherry Alhadad yang terjatuh terlentang di atas pentas sewaktu mereka mengulangi gerakan tarian lagu Mambo Number 5, malam Ahad.

Menurut Mark, idea untuk menari bersama Sherry tercetus secara spontan dan dia pada awalnya yakin mampu menampung badan Sherry memandangkan dia aktif bersenam hampir setiap hari.

“Menari bersama Sherry itu merupakan satu tindakan spontan. Memang saya yang minta untuk menari bersama Sherry. Sejak dahulu lagi, saya rasa diri saya sangat kuat.

“Saya seorang yang rajin bersenam. Setiap hari saya akan berlari selama 30 minit dan buat tekan tubi sebanyak 200 kali.

“Ketika insiden itu berlaku, saya ingatkan yang saya boleh buat tarian itu bersama Sherry. Ketika kali pertama, ia okay sahaja.

“Bila ulang sekali lagi dan saya memusingkan Sherry, saya rasa dia tergelincir. Namun, saya dapat menahan dan menampung Sherry daripada jatuh terlalu kuat. Kiranya saya yang menyelamatkan Sherry,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Marry Me itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu ketujuh GV12 di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada Ahad.

 

Sokongan Peminat Buat Mark Terharu

Mengulas lanjut, Mark memaklumkan Sherry kelihatan sukar untuk bangun semula kerana kasut yang dipakai mungkin kurang sesuai untuk pergerakan aktif di atas pentas.

“Saya cuba nak angkat Sherry tapi agak susah. Saya rasa mungkin disebabkan kasut yang dipakainya.

“Kalau dia pakai kasut biasa dan tidak licin, dia boleh bangun sendiri tanpa perlu diangkat,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Mark turut berkongsi dia bersama isterinya telah bertemu Sherry di belakang pentas bagi memastikan keadaannya berada dalam keadaan baik.

“Saya dan isteri ada berjumpa dengan Sherry untuk bertanyakan keadaannya di belakang pentas. Saya bertanya sama ada dia okay atau tidak?

“Katanya dia okay sahaja dan seronok dengan momen itu. Saya tahu Sherry seorang yang baik dan walau apapun yang terjadi, dia akan okay sahaja. Saya harap tiada apa-apa serius yang berlaku,” kongsinya lagi.

Mengulas mengenai sokongan padu peminat yang membolehkan dirinya memenangi Anugerah Ikon Semangat Nombor 1 serta membawa pulang wang tunai RM2,000 selama enam minggu berturut-turut, Mark mengakui dirinya amat terharu.

“Sokongan mereka sangat luar biasa. Saya tak pernah ada kumpulan peminat sebelum ini. Ada ketika, pengurus saya maklumkan yang peminat saya ini berusaha mengundi setiap hari.

“Saya belum tahu lagi bagaimana ingin membalas jasa mereka. Namun, saya ada perancangan untuk meluangkan masa bersama mereka bila kita sudah tidak sibuk lagi nanti.

“Setiap kali selepas berakhir konsert GV12, saya akan bertemu mereka. Setiap minggu ada orang-orang baharu yang datang menyokong saya. Pada saat ini, itulah perkara yang mampu saya buat dahulu,” akhirinya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf