
Penyanyi, Wany Hasrita, menyimpan hasrat besar agar single terbaharunya, Lembayung Tari, mampu mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapinya pada awal kemunculan dalam industri seni.
Menurut Wany, walaupun perjalanan kerjayanya dilihat bergerak perlahan selepas tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman, dia tetap bertekad untuk terus berusaha dan kekal relevan.

“Karya ini memberikan impak secara peribadi kepada saya. Selain nak menaikkan genre irama tradisional, saya simpan hasrat yang sangat besar untuk lagu ini. Saya juga ingin mengekalkan tempat saya di industri ini.
“Saya nak bagitahu kepada semua yang saya masih ada di sini dan masih menyanyi.
“Mungkin saya sudah lama tidak merasakan lagu yang betul-betul kena dengan jiwa dan buat orang mudah suka. Jadi, lagu ini seakan membawa harapan baharu,” katanya kepada MH.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Lembayung Tari, baru-baru ini.

Tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, Wany percaya setiap karya mempunyai kekuatan tersendiri walaupun ada antaranya kurang mendapat sambutan.

“Selama ini, saya bukan ikut sahaja apa lagu yang diberikan kepada saya. Sudah tentu saya juga ada memberikan pandangan. Mungkin orang di luar sana nak dengarkan muzik yang lain.
“Mungkin juga waktu saya melancarkan lagu itu kurang sesuai. Kita tak nafikan, ada banyak lagu-lagu best yang dilancarkan. Mungkin lagu saya tidak terlalu ketengah.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Lagu-lagu sebelum ini juga merupakan sebahagian daripada jiwa saya tetapi Lembayung Tari ini lebih istimewa kerana saya sudah bergerak sendiri.
“Lagu ini dikeluarkan dari hasil titik peluh saya sendiri. Akaun bank pun tinggal beberapa ringgit sahaja semata-mana untuk projek lagu ini,” ujarnya lagi.
Kini Bangkit Sendiri Demi Nama
Dalam masa sama, Wany mengakui pernah berdepan detik putus asa selepas melihat perubahan dalam perjalanan kerjayanya yang kini memasuki usia sedekad.

“Sudah tentu saya pernah berasa putus asa. Saya pernah merasai fasa berada di puncak. Dalam masa satu hari, lagu saya pernah mencapai hampir 40,000 jumlah tontonan.
“Saya juga pernah merasai pengalaman di mana lagu saya mencapai jutaan pendengar. Bila bergerak sendiri, jumlah tontonan itu ada tapi tidak ‘mega’ seperti dahulu. Jadi, saya rasa seperti agak susah nak kekal di dalam industri.
“Sebagai seseorang yang pernah memenangi Anugerah Bintang Popular 2018, suasana sekarang sangat berbeza. Saya faham adat dalam industri ini, ada fasa naik dan turun.
“Ada yang diingati dan ada yang dilupakan. Namun, saya masih sukakan industri ini. Saya harap 2026 ini bakal menjadi tahun yang menaikkan semula nama Wany Hasrita,” kongsinya.
Untuk rekod, Wany pernah meraih kemenangan di Anugerah Bintang Popular pada tahun 2018, sekali gus meletakkan namanya di puncak populariti ketika itu.
Dalam pada itu, Wany turut menzahirkan rasa syukur kerana mempunyai ibu serta pengurus yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam memastikan kerjaya seninya terus berjalan.

“Ibu saya merupakan orang yang tak pernah putus harapan dan semangat untuk saya. Ibu sendiri pernah bagitahu, kalau saya sudah penat, berhenti sahajalah dan duduk dengan suami di Kuching.
“Katanya, saya tidak akan rugi apa-apapun. Ibu pun tahu industri ini berjalan sangat laju. Jadi, saya tak boleh tertinggal. Saya kena terus keluarkan lagu yang meletup agar nama saya masih boleh dilihat.
“Selepas 10 tahun, saya dapat rasakan layanan itu berbeza. Saya juga ingin berterima kasih kepada pengurus saya.
“Dahulu, semuanya diuruskan pihak label. Kini saya perlu gerak sendiri tapi saya tak tahu bagaimana nak mula. Alhamdulillah pengurus sudi bergerak dengan saya. Saya nak nama saya jadi seperti dahulu lagi,” akhirinya.
Lembayung Tari merupakan lagu ciptaan komposer terkenal, Hael Husaini dan Iqie Hugh.

Lagu tersebut kini boleh didengari di seluruh platform penstriman digital, manakala lirik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Wany Hasrita.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!




